suria

Serina sangkal dakwaan ‘kahwin lari’ di Siam... percaya ada pihak hasut Chef Wan

Serina mengakui Chef Wan sudah mengetahui mengenai perkahwinannya itu.

SUSULAN pendedahan cef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan mendakwa anaknya Serina Redzuawan melangsungkan pernikahan di Thailand, akhirnya pelakon itu tampil menafikan kenyataan bapanya itu.

Menurut Serina, 38, dakwaan Chef Wan itu tidak benar dan menegaskan pernikahannya dengan suami Meor Mohammad Aidid diadakan di Malaysia.

"Assalamualaikum, tujuan post Serina hari ni nak jelaskan kekeliruan dan nak minta netizen jangan mudah nak hukum orang lain dengan menambah fitnah kepada Serina dan suami.

ARTIKEL BERKAITAN: Chef Wan terkejut Serina umum sudah menikah! Rupa-rupanya kahwin di Siam dua minggu lebih awal

"Selepas papa tulis dia tak tau kami nikah, dan dia kata kami kahwin di Siam itu adalah tidak benar, kami bernikah di sebuah negeri dalam Malaysia.

"Saya pun terkejut papa cakap kami kahwin di Siam, fikirlah logik sempadan pun tutup... mana ada buka," katanya menerusi Instagram pada pagi Sabtu.



Penjelasan Serina di Instagram.

Sebelum ini, Chef Wan, 63, mendedahkan Serina berkahwin di negara jiran tanpa pengetahuannya.

Perkara itu diluahkan oleh Chef Wan selepas beberapa jam Serina mengumumkan mengenai perkahwinan keduanya itu di Instagram.

Dalam pada itu, Serina berkata tindakan bapanya memuat naik status kecewa itu dilakukan selepas dihasut oleh pihak tertentu yang kurang senang melihat kebahagiaan mereka sekeluarga.

Apa pun saya maafkan orang yang fitnah dan cuba hancurkan keluarga kami, moga Allah beri orang ini hidayah

SERINA

PELAKON

"Memang saya akui ramai yang hasut papa dan cucuk papa macam-macam, suka tengok keluarga kami hancur. Saya sentiasa menghormati bapa saya. Kami tak ada masalah pun selama ni. Malah, papa sendiri ada post di Instagram dia sebelum ni dia restu hubungan kami bernikah... benda baik halal kan hubungan dituntut dalam Islam.

"Siap cakap makan-makan di restoran papa je nanti untuk kenduri jamuan doa selamat. Secara jujur papa dah tau kami nikah, saya dah maklumkan pada papa, suami pun dah berjumpa dengan papa.

"Apa pun saya maafkan orang yang fitnah dan cuba hancurkan keluarga kami, moga Allah beri orang ini hidayah... tolong hormat juga keluarga mertua Serina, mereka pun ada perasaan," ujarnya.



Serina maklumkan bapa sudah bertemu suami sebelum ini.

Dalam perkongsian yang sama, Serina turut memohon netizen menghentikan kecaman dan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai perkahwinannya itu.

Malah, dia menafikan tuduhan yang mengatakan Aidid merupakan suami orang.

"Jadi berhentilah buat tuduhan serta fitnah, besar dosanya nak menjawab di akhirat kelak sebab itu kalau kita tak tahu jangan kita pandai-pandai nak komen dan hentam orang lain.



Serina dan Aidid bernikah di Malaysia.

"Saya nak jelaskan suami saya bukan suami orang, (dia) duda. Sebelum kenal saya pun mereka dah ada masalah perkahwinan jarak jauh dan mereka belum ada zuriat. Jangan menuduh suami saya yang tak benar.

"Astaghfirullahalazim, cuba doakan yang baik-baik jangan jadikan media sosial tempat tambah dosa mengumpat, fitnah dan maki hamun orang lain. Semua yang terjadi atas izin Allah jodoh kami dah tertulis," katanya.

Serina sebelum ini pernah berkahwin dengan Gavin Edward O'Luanaigh pada 1 Januari 2010 namun disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Daerah Petaling pada 1 Ogos 2017.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Tristan Tareef, 11, dan Isabella Saffiya, 10 tahun.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain