suria

Perkahwinan Serina semakin hot! Bekas isteri Inspektor dakwa tidak tahu suami kahwin, kena cerai Mac lalu

Aidid berkahwin dengan Serina ketika masih suami Hamizah yang sah.

EPISOD kontroversi pernikahan Serina Redzuawan dengan lelaki bernama Meor Mohammad Aidid Meor Jamaluddin nampaknya semakin rumit apabila ia didakwa berlangsung tanpa pengetahuan dan kebenaran isteri pertama.

Tampil menjelaskan situasi sebenar, wanita bernama Nur Hamizah Shaffee, 34, mendakwa dia adalah isteri kepada Aidid ketika Serina dan suaminya mendirikan rumah tangga.

ARTIKEL BERKAITAN: Serina sangkal dakwaan ‘kahwin lari’ di Siam... percaya ada pihak hasut Chef Wan

Malah Hamizah juga menyangkal dakwaan Serina bahawa Aidid berstatus duda ketika mereka bernikah secara senyap di Perlis.



Gambar kenangan perkahwinan Hamizah dan Aidid.

"Saya cuma nak bersihkan nama keluarga, sebab tu saya beritahu perkara sebenar. Saya tak tahu kenapa mereka (Serina dan Aidid) perlu menipu. Memang benar Aidid berkahwin dengan Serina ketika dia masih suami saya yang sah.

"Sebenarnya hubungan saya dengan bekas suami pun tiada sebarang masalah dan kami jalani kehidupan bahagia biarpun kadangkala terpaksa berjauhan kerana kerja masing-masing," kata Hamizah kepada mStar.

Hamizah yang juga seorang pensyarah di sebuah kolej antarabangsa di Kampar, Perak mendirikan rumah tangga dengan Aidid pada 8 Ogos 2015 dan mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Bagaimanapun menurut Hamizah dia diceraikan Aidid, dipercayai seorang pegawai kanan polis berpangkat Inspektor yang bertugas di sebuah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) pada 9 Mac lalu.



Pelukan terakhir Hamizah dan Aidid di mahkamah sebelum sah bercerai.

"Ikutkan saya nak berdiam diri sahaja tapi apabila dia (Serina) beritahu perkara tidak betul, saya perlu bersuara. Saya syak mereka berkahwin pada minggu ketiga bulan Februari.

"Pada 9 Mac lalu, saya diceraikan dengan talak satu. Cukup sebulan kami bercerai, Serina kongsi berita perkahwinan mereka kepada umum," katanya.

Bagi mengukuhkan lagi dakwaan, Hamizah turut berkongsi salinan aduannya kepada mStar yang dibuat terhadap suami melalui Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM di IPK Perak pada 2 Mac lalu.

Menerusi aduannya, Hamizah berkata pada 18 Februari lalu dia dimaklumkan oleh Aidid mengenai pernikahannya dengan Serina.

Chef Wan langsung tidak bersalah dalam hal ini.

HAMIZAH

BEKAS ISTERI AIDID

Hamizah turut menyatakan di dalam aduannya bahawa perkahwinan itu berlaku tanpa kebenarannya selaku isteri pertama.

Untuk rekod JIPS PDRM berfungsi bagi memantapkan integriti pegawai di samping memastikan tugas dilaksanakan dengan mematuhi standard yang telah ditetapkan.

Dalam pada itu, Hamizah memberitahu dia juga cuba menghubungi bapa Serina iaitu cef selebriti terkenal Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan bagi menjelaskan perkara sebenar namun usahanya tidak berjaya.

"Saya ada hubungi Chef Wan untuk jelaskan hal ini tapi tak berjawab. Dia tidak tahu apa-apa fasal pernikahan mereka.

"Chef Wan langsung tidak bersalah dalam hal ini... saya harap netizen pun jangan menilai dengan membaca cerita satu pihak (Serina) sahaja," ujarnya.

Sebelum ini Chef Wan meluahkan rasa kesal apabila mendakwa Serina sudah menikah di negara jiran tanpa pengetahuannya.



Gambar Chef Wan ketika bertemu Aidid.

Perkara itu diluahkan oleh Chef Wan selepas beberapa jam Serina mengumumkan mengenai perkahwinan keduanya itu di Instagram pada Jumaat lalu.

Serina bagaimanapun tampil memberitahu bahawa kenyataan bapanya itu adalah tidak benar dan menegaskan pernikahannya dengan Aidid diadakan di Malaysia.

Aktres berusia 38 tahun itu juga berkata tindakan bapanya memuat naik status kecewa itu dilakukan selepas dihasut oleh pihak tertentu yang kurang senang melihat kebahagiaan mereka sekeluarga.

Serina sebelum ini pernah berkahwin dengan Gavin Edward O'Luanaigh pada 1 Januari 2010 namun disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Daerah Petaling pada 1 Ogos 2017.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Tristan Tareef, 11, dan Isabella Saya, 10 tahun.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain