suria

Polis siasat suami Serina dakwaan kahwin kali kedua tanpa kebenaran

Polis buka kertas siasatan terhadap suami Serina iaitu Meor Mohammad Aidid.

SUSULAN laporan eksklusif mStar berkaitan perkahwinan anak Chef Wan, Serina Redzuawan dengan anggota polis Meor Muhammad Aidid tidak mendapat kebenaran isteri pertama Nur Hamizah Shaffee, pihak polis pada Isnin membuka kertas siasatan terhadap pegawai kanan pasukan itu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kertas siasatan itu diserahkan kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Perlis berikutan Aidid sudah bertukar ke Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Perlis.

ARTIKEL BERKAITAN: Perkahwinan Serina semakin hot! Bekas isteri Inspektor dakwa tidak tahu suami kahwin, kena cerai Mac lalu

ARTIKEL BERKAITAN: Serina sangkal dakwaan ‘kahwin lari’ di Siam... percaya ada pihak hasut Chef Wan

"Pada mulanya memang dia bertugas di sini sebagai pegawai trafik dan kini sudah melaporkan diri sebagai pegawai siasatan jenayah di Ibu Pejabat Kontenjen (IPK) Perlis sejak 2019.



Aidid berkahwin dengan Serina ketika masih menjadi suami Hamizah.

"Jadi, kita serahkan siasatan kepada JIPS kerana pegawai ini sudah bertukar ke Perlis," katanya dalam satu sidang media pada Isnin.

Satu kertas siasatan tata tertib sudah dibuka terhadap pegawai berkenaan kerana beliau tidak memohon untuk berkahwin kali kedua.

Datuk Mior Faridalathrash Wahid

Ketua Polis Perak

Tambah beliau, JIPS Perlis ketika ini sedang menjalankan siasatan berhubung isu itu dan Meor Mohammad Aidid boleh dikenakan tindakan tata tertib jika didapati bersalah.

"Saya juga difahamkan satu kertas siasatan tata tertib sudah dibuka terhadap pegawai berkenaan kerana beliau tidak memohon untuk berkahwin kali kedua dan siasatan dijalankan oleh JIPS Perlis.

"Difahamkan perkahwinan mereka memang berdaftar dengan sah di Perlis, lazimnya kalau tidak meminta kebenaran kita akan ambil tindakan tata tertib melalui jabatan tetapi bagaimanapun ia bergantung kepada siasatan dijalankan," katanya.

Mior Faridalathrash ditemui pada majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Perak, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak serta Ketua Polis Daerah Batu Gajah di Mes Pegawai Kanan PDRM Perak di sini pada Isnin.



Serina mendedahkan sudah berkahwin dengan pegawai polis di Perlis.

Pada Jumaat lalu, Serina, 38, mendedahkan dia sudah bergelar isteri buat kali kedua dengan seorang pegawai polis Meor Mohammad Aidid Meor Jamaluddin, 34, di sebuah negeri di utara tanah air.

Kemudian, Chef Wan meluahkan rasa kecewa apabila mendapat tahu pernikahan anaknya itu selepas dua minggu pasangan itu berkahwin.

Beliau turut mendedahkan pasangan itu bernikah di Thailand.

Serina bagaimanapun menafikan mereka bernikah di Thailand, sebaliknya ia dijalankan di Perlis. Dia turut menafikan Aidid berstatus suami orang sebaliknya adalah seorang duda.

Namun, menerusi laporan mStar pada Ahad, seorang wanita bernama Nur Hamizah Shaffee, 34, berkata dia masih menjadi isteri Aidid ketika Serina dan suaminya mendirikan rumah tangga.

Hamizah turut menyangkal dakwaan Serina bahawa Aidid berstatus duda ketika pasangan itu bernikah secara senyap di Perlis.

Hamizah turut mendedahkan dia diceraikan Aidid, dipercayai pegawai kanan polis berpangkat Inspektor yang bertugas di IPK Perlis pada 9 Mac lalu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain