suria

Nora nafi sudah nikah di Thailand, dedah terima lamaran tapi bukan menteri - “Sampai masanya saya akan kongsi tentang hari bahagia itu”

Nora dedah sudah dilamar seseorang.

SELEPAS digosipkan sudah berkahwin dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, penyanyi Datuk Nora Ariffin mendedahkan dia sebenarnya sudah dilamar seseorang.

Bagaimanapun, Nora, 48, berkata, lelaki yang melamarnya itu bukanlah menteri berkenaan, sebaliknya seorang personaliti yang bukan dalam kalangan orang terkenal.

ARTIKEL BERKAITAN: Annuar Musa ‘cool’ jawab fitnah kahwin Nora - “Saya pun tak nak marah-marah... elok sabar sajalah!”

Balu Allahyarham Johan Nawawi itu juga memberitahu akan mengumumkan hari bahagia itu dalam masa terdekat.

"Saya fikir sudah sampai masanya untuk saya mengumumkan bahawa saya ada menerima lamaran daripada seseorang.

"Insya-Allah jika segala perancangan berjalan lancar, saya akan berkongsi mengenai hari bahagia saya dengan anda semua tidak lama lagi," katanya seperti dipetik Astro AWANI.



Nora tegaskan dia tidak berkahwin dengan Anuar Musa.

Kenyataan Nora itu sekaligus menepis dakwaan kononnya beliau dan Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh itu sudah bernikah di selatan Thailand.

Terdahulu, di media sosial tersebar sekeping salinan sijil pernikahan yang didakwa milik Nora dan Annuar.

"Demi Allah, saya dan Tan Sri (Annuar) tidak bernikah... saya sendiri tidak faham bagaimana ada pihak yang boleh buat tuduhan sedemikian.

"Sudah banyak kali saya nafi, Tan Sri juga sudah menafikannya, namun, masih ada yang nampaknya tidak percaya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Disebabkan itu, saya fikir sudah sampai masanya saya umumkan bahawa saya ada menerima lamaran pernikahan dan sedang merancang ke arah majlis itu," jelasnya.

Sementara itu, Nora berkata, kesediaannya untuk bernikah dibuat selepas berfikir sedalam-dalamnya selain direstui oleh anak-anak.

Nora berkahwin dengan Johan pada 1992 dan dikurniakan empat orang anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan.

Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung, sementara anak kedua pasangan itu, Muhammad Syakir Aliff pula menghembuskan nafas terakhir pada usia 20 tahun pada 13 Disember 2019.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain