suria

Eina Azman tak potong barisan... rupa-rupanya termasuk golongan berisiko tinggi, layak dapat vaksin lebih awal

Eina dan suami didakwa 'potong barisan' untuk dapatkan vaksin.

SUSULAN dakwaan pelakon Datin Paduka Eina Azman dan suaminya memotong barisan untuk mendapatkan vaksin, pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, Perak tampil menjelaskan kebimbangan awam.

Menurut Pengarah Hospital, Dr Abdul Malek Osman, pasangan itu layak menerima suntikan vaksin berdasarkan rujukan doktor pakar yang merawat mereka kerana mengalami masalah kesihatan dan komorbid.

ARTIKEL BERKAITAN: “Eina semalam register pakai website mana ya?” - Eina Azman padam foto selepas netizen persoal kelebihan dapat cucuk vaksin di Ipoh

Justeru tambah beliau, tidak timbul isu 'potong barisan' seperti yang didakwa memandangkan pasangan itu termasuk dalam senarai penerima vaksin atas nasihat doktor pakar dan diketegorikan sebagai golongan berisiko tinggi.

Eina memadam perkongsiannya yang mengundang kritikan netizen.

"HRPB mengambil maklum berkenaan isu tular di beberapa laman sosial berkaitan seorang artis wanita yang dikenali sebagai Eina Azman bersama pasangannya didakwa memotong barisan dan mengambil Vaksin Covid-19 di Ipoh, Perak.

"Berdasarkan semakan, kelayakan pemberian suntikan vaksin kepada pasangan tersebut adalah berdasarkan kepada rujukan oleh doktor pakar yang merawat pasangan ini atas masalah kesihatan dan komorbid yang dihadapi oleh mereka.

"Tiada isu 'potong barisan' dalam pemberian suntikan vaksin ini dan pasangan tersebut dimasukkan ke dalam senarai penerima vaksin atas nasihat doktor pakar yang merawat kerana pesakit dikategorikan sebagai golongan yang berisiko tinggi," katanya pada Khamis.

Untuk rekod, pasangan itu menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), HRPB pada 25 Mei.

Tiada isu 'potong barisan' dalam pemberian suntikan vaksin ini.

DR ABDUL MALEK OSMAN

PENGARAH HPRB

Pada Rabu, laman sosial kecoh apabila netizen mempersoalkan Eina dan suaminya, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Abdullah menerima suntikan vaksin di sebuah hospital di Ipoh, Perak.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Rata-rata netizen mendakwa selebriti itu memotong giliran pengambilan vaksin sekali gus melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang berkuatkuasa 25 Mei hingga 7 Jun ini.

Perkara itu menjadi tular selepas Eina atau nama sebenarnya, Ainur Syakina Azman, 26, dan suaminya, memegang placard 'saya sudah divaksin' sebelum ibu kepada sepasang kembar itu memadamkannya tidak berapa lama kemudian.

Dalam pada itu, pihak PPV HRPB juga menerima rujukan pesakit atau pelanggan daripada berbagai fasiliti kesihatan dari dalam atau luar negara Perak.

Malah, pihak mereka hanya memberi suntikan vaksin kepada pesakit atau pelanggan yang dirujuk atau tidak melakukan pre Vaccination Assesment' (PVA) di PPV di HRPB.

Eina dan suami layak menerima suntikan vaksin atas rujukan doktor pakar yang merawat mereka.

"PPV, HRPB menerima rujukan pesakit atau pelanggan daripada berbagai fasiliti kesihatan dari dalam dan luar Negeri Perak. Semua pesakit atau pelanggan yang dirujuk kepada PPV ini menjalani pemeriksaan awal iaitu 'pre Vaccination Assesment' (PVA) yang hanya boleh didapati di klinik-klinik Pakar Perubatan Hospital.

"PPV, HRPB hanya memberi suntikan vaksin kepada pesakit atau pelanggan yang dirujuk dan tidak melakukan PVA tersebut di fasiliti PPV di hospital ini.

"Pemberian vaksin bagi fasa kedua diberi keutamaan kepada golongan berumur 60 tahun ke atas dan individu mempunyai komorbiditi serta golongan yang berisiko tinggi.

"Selari dengan hasrat kerajaan untuk memberikan perlindungan kepada rakyat ketika negara berdepan dengan penularan wabak Covid-19, orang ramai terutama kepada golongan berisiko tinggi digalakkan untuk membuat pendaftaran penerimaan suntikan vaksin melalui aplikasi MySejahtera atau melayari laman web vaksin," tambahnya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain