suria

Polis Selangor nak jumpa ibu Neelofa, siasat kes posting berbaur hinaan kepada Sultan Johor

Polis Selangor akan memanggil ibu Neelofa berhubung satu hantaran dipercayai dimuat naik oleh pekerjanya, Zulshafiqah (tudung hitam) di Instagram.

POLIS Selangor memaklumkan pihaknya mengambil alih siasatan kes membabitkan ibu kepada pengacara, Neelofa iaitu Datin Noor Kartini Noor Mohamed berkaitan posting mempertikaikan titah Sultan Johor yang dimuat naik di laman Instagram.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, pihak polis akan memanggil Noor Kartini dan menyiasat secara terperinci berhubung kes ini.

"Ya saya mengesahkan Polis Selangor akan ambil alih siasatan... pihak kami akan panggil semula Noor Kartini untuk siasatan.

"Kita telah berbincang dengan Polis Kuala Lumpur... lebih sesuai jika Polis Selangor ambil alih kes ini," katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Pekerja Noor Kartini mohon maaf, mengaku tersalah buat ‘posting’ pertikai Sultan Johor - “Screenshot untuk rujukan saya sahaja”

Sebelum itu, pihak polis dalam satu kenyataan pada Ahad telah memulakan siasatan berhubung satu hantaran berbaur penghinaan kepada Sultan Johor melalui laman Instagram milik Noor Kartini Noor Mohamed.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata satu laporan berkaitan perkara itu diterima kira-kira pukul 5.44 petang Ahad yang dibuat oleh pemilik akaun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal.

Laporan dibuat berhubung paparan di Instagram peribadi milik wanita berusia 54 tahun itu yang memaparkan gambar laporan berita disiarkan TV3 bertajuk 'Sultan Johor Cadang Sekatan Penuh Bersasar'.

Siasatan awal mendapati hantaran berkenaan dibuat oleh seorang wanita tempatan berusia 32 tahun yang mengaku tersilap menggunakan akaun Instagram milik pengadu dengan membuat hantaran melalui medium Instastory.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Gara-gara kesilapan ini, keluarga Neelofa menjadi perbualan netizen dan mencetuskan tanda tanya ramai termasuk Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim yang turut berkongsi tangkap layar daripada Instagram Noor Kartini itu.

Noor Kartini buat laporan polis berhubung muat naik di Instagram miliknya pada Ahad.

Susulan itu, Noor Kartini tampil dengan kenyataan penafian berhubung kontroversi berkenaan.

Tidak lama kemudian, pekerja yang didakwa memuat naik posting tersebut iaitu Zulshafiqah Zulkafli pula menyerah diri dan membuat permohonan maaf serta mengaku bertanggungjawab terhadap kekecohan itu.

Zulshafiqah berkata tangkap layar (screenshot) itu bertujuan untuk rujukannya tanpa berniat memuat naik di Instagram peribadinya atau akaun Noor Kartini.

Dia turut memohon maaf kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Johor, dan seluruh kerabat Diraja Johor serta Noor Kartini sekeluarga.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain