PIHAK produksi sebuah telefilem tidak bertanggungjawab dengan penahanan pelakon Niezam Zaidi dan dua kru yang terlibat dalam pembikinan karya berkenaan kerana apa yang mereka lakukan itu adalah kesalahan yang bersifat peribadi. Penerbit Eksekutif Zamriez Golden Pictures Sdn Bhd, Syafiqa Zamri berkata, pembikinan telefilem berkenaan yang diadakan di Kuala Kangsar sebenarnya sudah berakhir pada Sabtu lalu dan mereka sepatutnya pulang untuk menyambung penggambaran di Kuala Lumpur, melainkan Niezam yang telah tamat tugasnya. "Sepatutnya mereka dah selesai penggambaran dengan kami dan boleh pulang tapi mereka memilih untuk terus berada di homestay," katanya ketika dihubungi mStar pada Isnin. ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon, pengarah dan kru jalani penggambaran di Kuala Kangsar dicekup positif dadah ARTIKEL BERKAITAN: Bekas naib juara Maharaja Lawak Mega direman kes perdagangan wanita atas tujuan seks Terdahulu mStar melaporkan artis dan dua kru iaitu masing-masing pengarah dan penolong pengarah yang sedang menjalani penggambaran di Kuala Kangsar ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah inap desa di Persiaran Jati Taman Chandan Putri 2, Kuala Kangsar, Perak pada Ahad. Mereka ditahan dalam bilik berasingan kira-kira pukul 7.15 pagi oleh sepasukan anggota dan pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar. Syafiqa ulas mengenai penahanan seorang pelakon dan dua kru telefilem terbitan produksinya. Hasil ujian air kencing mendapati pelakon dan pengarah positif dadah jenis THC atau Tetra Hydrocannibal. Manakala penolong pengarah pula didapati positif dadah jenis AMP dan methamphetamine. Untuk adegan membabitkan pelakon itu pula, semua wataknya sudah selesai dilakukan! SYAFIQA ZAMRI PENERBIT EKSEKUTIF Berikutan kejadian itu netizen mula mendedahkan mengenai identiti ketiga-tiga suspek termasuk mengaitkan nama pelakon Niezam Mohd Zaidi yang berasal dari Ipoh, Perak. Dalam pada itu, Syafiqa berkata dia dimaklumkan mengenai penahanan ketiga-tiga mereka pada Ahad namun tidak dapat mengulas lanjut kerana ia masih dalam siasatan pihak polis. Katanya, pihak produksi memandang serius kejadian itu dan telah mengambil tindakan drastik untuk menggantikan pengarah dan pembantu pengarah berkenaan bagi menyelesaikan baki beberapa babak telefilem berkenaan. Penggambaran telefilem akan diteruskan dengan pengarah baharu - Foto hiasan. "Penggambaran di Kuala Kangsar dah selesai, kita akan beralih ke lokasi di Kuala Lumpur pula. Kami akan menukar pengarah lain untuk menyelesaikan baki penggambaran. "Cumanya masih belum tahu lagi bila penggambaran akan disambung... kita kena susun semula jadual, tapi berkemungkinan akan disambung dalam masa terdekat. "Untuk adegan membabitkan pelakon itu pula, semua wataknya sudah selesai dilakukan,” katanya. Sementara itu, jurucakap dari Ibu Pejabat Polis Kuala Kangsar yang dihubungi mStar mengesahkan tentang penahanan terbabit. "Mereka masih dalam tahanan bagi membantu siasatan. Setakat ini belum ada apa-apa perkembangan terbaharu yang boleh dikongsi," katanya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI TONTON VIDEO PILIHAN!