suria

Gara-gara tegur bekas menantu, Chef Wan dapat surat saman RM1 juta

Chef Wan terima notis saman RM1 juta dari bekas menantu.

TINDAKAN cef selebriti terkenal Datuk Chef Wan menegur bekas menantu, Shikin Maembong berhubung hal membabitkan cucunya mengundang padah apabila dia bakal disaman sebanyak RM1 juta.

Menurut Chef Wan atau nama sebenar Redzuawan Ismail, 64, surat tuntutan saman itu dihantar melalui peguam dilantik kakak kepada pelakon Emma Maembong itu, baru-baru ini.

"Bekas isteri anak saya, Shikin Maembong melalui peguamnya menghantar surat saman malu kononnya beberapa bulan lalu saya menegurnya dan anak saya iaitu Nadzri bergaduh tentang anak. Hak bapa atau ibu adalah sama ke atas anak itu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Satu sen pun tak pakai duit Chef Wan masa kahwin” - Shikin Maembong - Hiburan | mStar

ARTIKEL BERKAITAN: Chef Wan terkejut Serina umum sudah menikah! Rupa-rupanya kahwin di Siam dua minggu lebih awal

"Kerana mahu membalas dendam sebab tidak berpuas hati tentang urusan nafkah anak, dia (Shikin) menggunakan cara itu (saman) dan menghalang saya berjumpa dengan Arianna (cucu)," katanya menerusi laman Instagram pada Ahad.

Bersama kapsyen tersebut, dia turut memuat naik surat tuntutan daripada peguam dilantik Shikin.

chef wan 2

Luahan Chef Wan di Instagram.​​​​​​

Dalam pada itu, Chef Wan meluahkan rasa terkilan kerana namanya turut terpalit dalam kemelut membabitkan rumah tangga anak-anak.

Lebih-lebih lagi apabila Chef Wan mendakwa selama ini dialah yang paling banyak membantu wanita itu ketika dalam kesusahan.

Sebagai orang tua, saya memberikan nasihat yang baik-baik tanpa perlu melibatkan mahkamah untuk mendapatkan hak penjagaan anak

CHEF WAN

SELEBRITI MASAKAN

"Tak rasa malu ke semasa susah, saya juga yang uruskan bil hospital dan macam-macam lagi. Sebagai bekas bapa mertua, salah ke jika saya memberikan nasihat?

"Sebagai orang tua, saya memberikan nasihat yang baik-baik tanpa perlu melibatkan mahkamah untuk mendapatkan hak penjagaan anak. Ramai orang bercerai, namun masih sama-sama menjaga anak.

"Masing-masing dah tua. Tolonglah matang. Mahkamah ada banyak isu yang penting. Jangan ditambah lagi isu-isu bodoh nak saman bekas bapa mertua.

chef wan 3

Chef Wan enggan layan permintaan anak dan menantu.

"Kau lupa ke jasa-jasa aku bersusah payah kahwinkan kau berdua guna duit saya 100 peratus? Anak saya dah bersetuju untuk anaknya dijaga ibu (bekas isteri) cukuplah. Jika dia (Nadzri) mahu luangkan masa bersama anaknya beberapa hari dalam sebulan, biarkan. Itu adalah anaknya," ujarnya.

Sementara itu, Chef Wan berkata dia enggan melayan sebarang permintaan tidak masuk akal membabitkan bekas menantu dan anak-anak.

Malah, dia berpendapat nasihat yang diberikan sebelum ini adalah tindakan yang betul sebagai seorang bapa.

"Besar sangat ke kepala kau sampai lupa diri tu tak boleh ditegur dan dinasihati. Cukuplah saya tak ada masa untuk ini semua okay. Letih saya melayan kisah anak-anak ini semua.

chef wan 4

Foto kenangan Chef Wan bersama Chef Riz dan Shikin Maembong semasa pernikahan mereka pada tahun 2014.

"Dia tak malu ke... ada hati nak saman saya, nasihat yang baik-baik untuk kedua-dua pihak? Miskin sangat ke nak saman saya satu juta?

"Terdesak sangat ke? Kita semua dah bergerak ke depan. Sangat bodoh bergaduh tentang seorang anak pun. Dah lupa ke awak dah cukup memalukan saya. Kasihan la anak tu," katanya.

Usaha mStar mendapatkan respon daripada kedua-dua pihak tidak berjaya apabila panggilan dan mesej dihantar tidak berjawab.

Untuk rekod, Nadzri atau sebenar Mohd Nadzri Redzuwan, 40, mendirikan rumah tangga dengan Shikin atau Siti Nur’ Ashikin Ismail pada 5 Disember 2014 dan bercerai pada Jun 2016.

Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Putri Arianna Natasya yang kini berusia tujuh tahun.

Nadzri sebelum itu pernah berkahwin dengan pelakon, Ana Dahlia namun bercerai pada 10 Disember 2012, selepas 11 bulan mendirikan rumah tangga.

Pada Januari lalu, Nadzri atau lebih dikenali sebagai Chef Riz berkahwin kali ketiga dengan wanita pilihan hatinya bernama Nurul.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain