suria

[VIDEO] Syamsul Yusof pandang serius isu hina Islam, Yusuf Azmi cadang mogok jika kelab komedi dibuka semula

PENGARAH Syamsul Yusof memandang tindakan wanita yang menghina Islam ketika membuat persembahan stand up comedy di sebuah kelab baru-baru ini adalah perkara serius dan tidak boleh dibiarkan berleluasa.

Syamsul berkata, isu itu harus diteliti oleh pihak berkuasa dalam usaha membendung kejadian serupa daripada berulang pada masa depan.

"Perkara ini sangat serius dan harus disuarakan malah pemimpin juga perlu meneliti perkara ini agar ia tidak berulang.

"Pada awalnya saya kurang bersetuju dengan penutupan kelab komedi itu tetapi perkara ini sangat serius dan harus disuarakan. Malah pemimpin juga perlu meneliti perkara ini agar ia tidak berulang," katanya kepada mStar.

Pada petang Rabu, Syamsul bersama Pengerusi Persatuan Semboyan, Yusuf Azmi, pelawak Shahrol Shiro hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields untuk membuat laporan polis terhadap kelab komedi Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Laporan itu dibuat bagi meminta pihak berkuasa agar menyiasat pemilik premis berkenaan dikenali sebagai Mohammad Rizal Johan atas dakwaan mempersendakan agama Islam.

ARTIKEL BERKAITAN: Teman lelaki wanita hina Islam dituduh muat naik content jelik dengan niat menyakitkan hati

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita buka baju hina Islam mengaku tidak bersalah, mahkamah larang muat naik sebarang kenyataan di media sosial

Dalam pada itu, Shahrol memberitahu insiden melibatkan wanita menghina Islam itu disifatkan sebagai melanggar garis keamanan negara yang hidup dalam keadaan harmoni di antara kaum dan agama.

WhatsApp Image 2022-07-13 at 8.06.17 PM

Syamsul menganggap isu wanita hina Islam sebagai serius.

Shahrol turut bertegas agar pihak berkuasa menjalankan siasatan secara mendalam mengenai individu di sebalik kelab itu dan mengambil tindakan sewajarnya.

Sementara itu, Yusuf menegaskan akan melakukan tindakan mogok di hadapan kelab tersebut sekiranya premis itu dibuka semula.

"Sekiranya premis itu dibuka semula, kemungkinan besar kami akan buat mogok sehingga ia ditutup. Kami mengharapkan agar kelab komedi itu terus ditutup sebagai pengajaran agar premis lain tahu peraturan ketika berjenaka.

"Kami membuat laporan polis ini juga bagi menyatukan orang Melayu Islam yang terkesan dengan penularan video berkenaan dan kaitan dengan pemilik kelab komedi itu.

"Saya difahamkan bukan sahaja bangsa Melayu dan agama Islam dipermainkan tetapi agama lain turut diperkotak-katikkan dalam persembahan di situ," jelasnya.

Terdahulu pada pagi Rabu, wanita berkenaan Siti Nuramira Abdullah mengaku tidak bersalah atas tuduhan menghina agama Islam di Mahkamah Sesyen Siber, Kuala Lumpur.

Manakala teman lelakinya, V. Alexander Navin turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan memuat naik hantaran jelik dengan niat menyakitkan hati di media sosial di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain