PELAKON Lufya Omar menyangkal dakwaan enggan memberi kerjasama terhadap siasatan polis berhubung kes cubaan menculik anak perempuannya pada 26 Jun lalu. Lufya atau Lufya Sheikh Omar, 37, menjelaskan dia mengambil jalan berdiam diri kerana mahu menyelesaikan insiden berkenaan tanpa campur tangan mana-mana pihak tanpa mendedahkan apa sahaja kelemahan yang berlaku. "Kenyataan yang dikeluarkan seolah-olah saya tidak pernah datang ke balai polis untuk memberikan kerjasama. "Saya mahu hal ini diselesaikan segera dengan pihak berkuasa tanpa campur tangan lain dan mendedahkan apa sahaja kelemahan yang terjadi. Disebabkan itu, selama ini saya berdiam," katanya menerusi kenyataan di Instagram Story miliknya pada Jumaat. Lufya mengalami kecederaan akibat dipukul individu yang cuba menculik anaknya. Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, sehingga kini pihaknya belum merakam keterangan Lufya berhubung kes cubaan menculik anaknya. Kata Mohamad Fakhrudin, pihaknya masih menunggu kerjasama Lufya dan perlu mengambil keterangan anaknya berkaitan kejadian berdasarkan laporan polis yang dibuat pelakon itu pada Jun lalu. ARTIKEL BERKAITAN: Dipukul dengan kayu sehingga cedera, Lufya berdepan situasi cemas diserang lelaki tidak kenali cuba culik anaknya ARTIKEL BERKAITAN: Lufya sifatkan insiden diserang ada hikmah tersendiri, hubungan bekas suami dan anak kembali bertaut Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Lufya menjelaskan dia sentiasa bersedia memberikan kerjasama dengan pihak berkuasa namun disebabkan beberapa masalah teknikal proses itu tertangguh. Lufya turut memuat naik perbualan bersama pegawai yang mengendalikan kes itu sebagai bukti dia ada berkomunikasi dan memberikan kerjasama bagi kes tersebut. Dalam salah satu perbualan, pegawai berkenaan memaklumkan mesin fotofit masih dalam proses pembaikan selain ada komunikasi pada 2 Julai lalu meminta Lufya menyerahkan laporan perubatan. Tidak mungkin juga saya mahu sembunyikan jenayah bekas suami jika dia terlibat dalam kes ini. LUFYA OMAR PELAKON "WhatsApp saya bersama ASP yang bertugas mengendalikan kes ini. Buat pengetahuan umum, mesin fotofit masih rosak bila saya tanya tadi kepada ASP (bahagian Petaling Jaya). "Kerjasama telah diberikan bukan seperti yang netizen fitnah sampai kata laporan pun tidak dibuat," jelasnya. Sementara itu, Lufya juga terkilan apabila ada segelintir pihak menuduhnya sengaja mereka cerita tentang kejadian tersebut bagi tujuan mencipta kontroversi dan meraih perhatian. "Ada yang memberi komen berbaur fitnah di mana saya dikatakan mencipta kontroversi demi meraih populariti dan perhatian. Lufya turut mendedahkan perbualan WhatsApp dengan pegawai penyiasat kes berkenaan. "Saya mencari rezeki dengan wajah. Tak mungkin nak toreh muka sendiri untuk popular. "Tidak mungkin juga saya mahu sembunyikan jenayah bekas suami jika dia terlibat dalam kes ini," jelasnya. Pada 26 Jun lalu, Lufya berdepan situasi mencemaskan apabila diserang oleh seorang lelaki tidak dikenali yang ingin cuba menculik anak perempuannya iaitu Laana Haura. Dalam kejadian mencemaskan itu, Lufya telah dipukul dengan sebatang kayu sehingga menyebabkan kecederaan pada wajah dan badannya. Namun Lufya bernasib baik apabila penculik itu gagal melarikan anaknya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI