suria

Dituduh jadi punca kemalangan, mangsa langgar kecewa Ikmal Amry buat tak tahu… “Apabila call, dia suruh cakap dengan bapa”

Kereta milik Liana (kanan) alami keroskan teruk akibat kemalangan.

KEJADIAN kemalangan yang menimpa Ikmal Amry sehingga menyebabkan kenderaan miliknya terbalik didakwa berpunca daripada sikap pelakon itu sendiri.

Seorang pengguna jalan raya, Norliana Abdul Hamid, 24, mendakwa sebelum kejadian Ikmal memandu dalam keadaan laju sehingga menyebabkan kemalangan di Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) ke arah Melaka kira-kira pukul 2.30 petang, Sabtu lalu.

Menurut Liana, akibat kejadian itu, kenderaan yang dinaikinya turut dirempuh oleh sebuah kereta lain selepas Ikmal melanggarnya.

liana 1

Insiden yang berlaku menyebabkan percutian Liana tergendala.

Akibat kemalangan itu, kereta milik Liana remuk di bahagian belakang selain tayar pecah dan tidak boleh bergerak.

"Ketika kejadian itu, kereta agak banyak di atas jalan raya dan memang pemanduan agak perlahan.

"Tiba-iba kereta kami dilanggar dari arah belakang dan kemudian saya nampak di depan mata kereta Ikmal berpusing di atas jalan raya," katanya ketika dihubungi mStar pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Ikmal Amry kemalangan, kereta terbalik dalam perjalanan ke Melaka... syukur isteri dan anak selamat

Terdahulu, Ikmal menerusi Instagram memberitahu terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika perjalanan ke Melaka.

Kenderaan berwarna merah milik pelakon Ex Aku Pontianak itu turut terbalik namun isteri, Najla Shamsul dan anak mereka Cailie terselamat daripada sebarang kecederaan.

Dalam pada itu, Liana berkata, ketika kejadian mereka sedang dalam perjalanan ke Melaka bagi menyambut ulang tahun ibunya yang ke-66 namun tidak menyangka perancangan itu bertukar tragedi.

Ikmal juga ada di situ. Dia langsung tidak minta maaf malah dia yang pergi dahulu meninggalkan kami di sana

NORLIANA ABDUL HAMID

Menurut Liana, ibunya, Zaleha Tahir masih dalam keadaan trauma selepas insiden itu dan kakaknya yang turut berada dalam kereta sama mengalami kecederaan pada bahagian tangan.

"Disebabkan kemalangan itu, semua perancangan kami untuk menyambut ulang tahun ibu di Melaka tergendala kerana kereta saya tidak boleh bergerak.

"Ibu juga trauma selepas kejadian itu, maklum sahaja orang yang sudah berusia, pastinya dia terkejut apabila berlaku kejadian seperti itu," katanya.

ikmal 1

Ikmal berkongsi gambar isteri dan anaknya ketika kejadian.

Sementara itu, Liana turut meluahkan rasa kecewa apabila Ikmal dikatakan tidak bertanggungjawab selain tiada sebarang kata maaf daripada pelakon tersebut selepas kejadian.

Liana juga memaklumkan sudah menghubungi Ikmal namun panggilan yang dibuat diserahkan kepada bapanya bagi mewakili dirinya.

"Selepas kejadian kami berhenti di tepi jalan. Ikmal juga ada di situ. Dia langsung tidak minta maaf malah dia yang pergi dahulu meninggalkan kami di sana.

"Selepas dihubungi, dia minta untuk bercakap dengan bapanya namun tiada juga permohonan maaf atau sebarang tindakan untuk membantu.

"Kesal juga dengan sikapnya seakan-akan tidak mahu bertanggungjawab," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain