SEJAK beberapa hari lalu, nama pelakon dan penyanyi Diana Danielle menjadi sebutan ramai gara-gara pendedahan berani mendakwa pernah menjadi mangsa penderaan fizikal oleh bekas teman lelakinya menerusi program Studio Sembang di YouTube. Diana atau Diana Danielle Danny Benson, 31, berkata, dia tidak menyangka isu penderaan fizikal itu menjadi isu besar kerana bukan niatnya mencari gaduh atau mengungkit kisah lalu sebaliknya sekadar berkongsi pengalaman dan kesedaran tentang kesihatan mental. "Saya tak berniat nak ungkit cerita lama, ia sekadar perkongsian sahaja. Bukan niat saya, orang pun tahu saya jenis bukan suka cari gaduh. "Saya pernah mendedahkan perkara ini 10 tahun lalu, tapi mungkin ramai peminat muda yang tak tahu mengenainya. Diana berkongsi tentang kesihatan mental dalam temu bual program Studio Sembang. "Kita juga bercakap mengenai kesihatan mental dan bagaimana cara untuk meneruskan kehidupan. Sepanjang sejam berkongsi, tak sangka pula perkara itu menjadi perhatian dan fokus orang. "Bila saya tontont semula rakaman terbabit, ramai yang mesej secara peribadi dan berterima kasih kerana ada perkara yang saya sentuh memberi semangat kepada mereka serta ruang bercerita mengenai pengalaman mereka, bukan hanya berkisar mengenai apa saya perkatakan," katanya kepada mStar. Diana menjelaskan perkara itu ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi Rizman Ruziani RR Cruise 22/23 di RR Flagship Store di Shoppes at Four Season Place, Kuala Lumpur pada Selasa. ARTIKEL BERKAITAN: Diana Danielle bangga dengan Farid Kamil, minta netizen jangan politikkan pegang watak Anwar Ibrahim ARTIKEL BERKAITAN: Diana Danielle teruja kolaborasi dengan Calum Scott... Akui lirik terlalu mendalam hingga menitis air mata teringat anak perempuan Dalam pada itu, Diana mengakui wujud perasaan serba salah atas keterlanjurannya mendedahkan insiden tersebut namun tidak menyalahkan orang lain kerana ia adalah tindakannya sendiri. "Dalam hati saya wujud rasa serba salah apabila saya berkongsi mengenai perkara itu sebab saya tak maksudkan sesiapa. Saya tak boleh nak salahkan orang lain jika kita sendiri yang memulakan sesuatu," jelasnya. Ditanya adakah dia fobia melalui pengalaman hitam tersebut, pelakon drama bersiri Camelia ini menganggap ia pengajaran dalam hidup. Diana kini bahagia bersama Farid dan dua anak mereka. "Ia menjadi pengajaran... Dalam hidup ini, manusia tak lari daripada buat kesalahan atau membuat orang lain terasa hati. Kita belajar menjadi insan yang lebih baik dan belajar buat keputusan lebih baik untuk diri sendiri dan keluarga. "Semua orang ada pengalaman yang berbeza, buatlah keputusan yang terbaik, lebih-lebih lagi bila kita ada anak, jika kita tak kuat untuk diri sendiri, kita kena kuat demi anak-anak supaya mereka tak perlu menjalani hidup yang penuh kekerasan," katanya. Sebelum ini, Diana mendedahkan dia pernah didera secara fizikal oleh bekas kekasih yang tidak didedahkan identitinya ketika ditemu bual bersama artis Amelia Henderson. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI