PENYANYI Datuk Awie meminta orang ramai yang sudah membuat pembelian tiket konsert Unplugged Living Legend tampil membuat laporan polis. Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 53, berkata konsert berkenaan tidak wujud dan dia terkejut apabila mengetahui poster yang dimuat naik oleh penganjur memaparkan nama dan fotonya. Menurut Awie, buat masa ini dia masih belum mengetahui jumlah mangsa yang ditipu, namun menyarankan mereka yang telah membeli tiket tampil mengambil tindakan selanjutnya. "Saya berharap kepada mereka yang telah membeli tiket konsert itu agar tampil untuk membuat laporan polis. Awie ambil tindakan kerana tak mahu penipuan terus berlaku. "Saya tak tahu berapa ramai yang sudah kena tipu. Kalau RM300 atau RM400 pun itu masih duit. Mungkin dapat dipulangkan kembali. Jadi saya seru siapa yang sudah membeli, sila buat aduan," katanya kepada mStar. Awie mengulas mengenai tindakan seorang wanita mengaku sebagai penganjur acara didakwa menipu berhubung konsert palsu di perkarangan Mahkamah Majistret Ampang, Selangor pada Jumaat. Dalam pada itu, Awie yang juga merupakan duta Anti-Scam berkata dia mengambil tindakan berhubung isu ini kerana enggan kes penipuan seumpama ini terus berleluasa. Kata Awie, selepas mengetahui mengenai penipuan itu pada Oktober lalu, dia segera membuat laporan polis untuk siasatan lanjut. ARTIKEL BERKAITAN: Penganjuran konsert palsu guna gambar artis popular, Awie dedah wanita ‘scammer’ sudah kena tahan polis ARTIKEL BERKAITAN: Awie sedih industri muzik ‘dilacurkan’ orang tiada jiwa seni, penampilan founder dan TikToker jadi penyanyi memalukan "Saya sendiri tak tahu berkenaan konsert itu. Saya tak boleh biarkan sebab sekarang zaman scammer. "Mereka ni mahu mencari keuntungan dengan cepat, kebetulan pula saya merupakan duta scam, jadi saya terus bertindak berhubung dengan pihak polis," ujarnya. Dalam perkembangan lain, tertuduh iaitu Norhayati Maslinda Chew Asmawie Chew, 44, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Normaizan Rahim. Mengikut pertuduhan, tertuduh yang tidak bekerja didakwa telah cuba memperdaya rakan penganjur acara Murbarak Akhtar Mohd Aris, 52, dengan mendorong untuk membeli tiket konsert Unplugged Living Legend yang tidak wujud dan menyerahkan wang dalam akaun bank milik tertuduh. Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Bukit Mulia, Nukit Antarabangsa pukul 10 malam pada 24 Oktober lalu. Saya sendiri tak tahu berkenaan konsert itu. Saya tak boleh biarkan sebab sekarang zaman scammer AWIE PENYANYI Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 kanun keseksaan dan dibaca bersama seksyen 511 kanun yang sama. Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai lima tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ameera Sam Kamaruddin menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin. Bagaimanapun peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili tertuduh memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya seorang ibu tunggal yang menyara empat orang anak. "Suami tertuduh telah meninggal dunia awal tahun lalu selain tertuduh turut mempunyai penyakit slip disc (sakit tulang belakang)," kata peguam itu. Norhayati Maslinda mengaku tidak bersalah. Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Majistret Normaizan membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin. 21 Februari depan ditetapkan untuk sebutan semula kes. Penipuan itu dikesan apabila Awie mendapat maklumat daripada rakannya bahawa terdapat satu hantaran Facebook mempromosikan sebuah konsert yang dijadualkan berlangsung pada 4 Februari depan di Kota Kinabalu, Sabah. Dalam poster yang tular itu, konsert diberi nama Unplugged Living Legend menampilkan artis popular tanah air seperti Datuk Awie, Ziana Zain, Ella dan Erra Fazira selain vokalis kumpulan Dewa 19, Ahmad Dhani. [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]