SELEPAS membuat pendedahan diganggu bekas suami iaitu Pencetus Ummah (PU) Abu, usahawan Hana Azraa akhirnya tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kubang Pasu, Kedah pada Ahad. Selain Abu, Hana atau nama sebenarnya Nurhanah Azra Mohd Zakir turut membuat laporan terhadap isteri pertama iaitu Ain Afini dan meminta wanita itu supaya tidak masuk campur dalam urusannya. "Saya tidak boleh ceritakan secara terperinci tentang laporan berkenaan. tetapi apa yang boleh dikatakan laporan pertama adalah meminta Ain tidak masuk campur kerana semua perkongsian saya di media sosial adalah berkaitan saya dan Abu. Hana membuat laporan polis bagi mempertahankan hak sendiri. "Dalam masa sama saya juga membuat laporan supaya Abu berhenti mengganggu saya," katanya kepada mStar. Hana sebelum itu menerusi Instastory mendedahkan Abu sering menghubungi dan cuba memujuk untuk kembali bersama selepas mereka bercerai pada 2020. Sementara itu, Hana memberitahu dia pernah bertemu Abu bagi menyelesaikan segala kemelut, namun ianya tidak menemui titik noktah apabila pendakwah itu masih berharap untuk kembali bersama. ARTIKEL BERKAITAN: Isteri pertama PU Abu tak berdiam diri, buat laporan polis berhubung ‘posting’ Hana Azraa di media sosial ARTIKEL BERKAITAN: PU Abu tidak mahu buka pekung rumah tangga, konflik dengan Hana Azraa tak libatkan isteri pertama Hana juga mendakwa bekas suaminya itu culas dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa dan jarang bertanya khabar mengenai anak mereka iaitu Muhammad Uwais Al-Mateen yang kini berusia tiga tahun. "Bukannya kami tidak pernah duduk berbincang. Malah pernah menggunakan orang tengah seperti keluarga sendiri. Hasilnya sama sahaja. Masalah tidak akan selesai kalau dia masih utamakan perasaan mahu saya kembali. "Soal nafkah anak pun ikut mode dia. Kalau dia nak dia akan beri. Ikut suka hati dia sahaja. Sebab itu apa yang saya buat sekarang ini adalah untuk perjuangkan hak Mateen. Itu adalah anak dia," jelasnya. Tak mungkin untuk saya kembali sebagai isteri Abu. Saya bahagia sekarang ini dan tidak mahu terlibat dengan kehidupan yang pernah dilalui sebelum ini HANA AZRAA Dalam masa sama, Hana turut meminta Abu memberikan kerjasama dan segera menyelesaikan kes penceraian mereka di mahkamah. "Lafaz cerai di luar mahkamah memang sudah buat cuma belum dapat pengesahan mahkamah. Susah hendak berurusan sebab dia jarang berada di Malaysia. Saya harap dia boleh beri kerjasama baik. "Tak mungkin untuk saya kembali sebagai isteri Abu. Saya bahagia sekarang ini dan tidak mahu terlibat dengan kehidupan yang pernah dilalui sebelum ini," ujarnya. Konflik yang berlaku turut melibatkan isteri pertama Abu. Untuk rekod, Abu dan Hana berkahwin pada Mei 2019 dan berpisah setahun kemudian. Abu juga pernah menceraikan Ain ketika wanita itu sarat mengandung tujuh bulan pada 2019 dan berkahwin dengan Hana sebelum kembali rujuk dengan Ain dua minggu selepas perkahwinan keduanya itu. Hasil perkahwinan dengan Ain pada 2018, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Adam Asyar, dan Muhammad Aryan 'Afi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube