suria

Bekas Miss Universe Malaysia 2020 diekori lelaki berjubah siap berkopiah, rupanya individu sama ajak masuk bilik hotel setahun lalu 

Francisca diganggu lelaki berjubah yang mengekorinya di sebuah hotel.

MISS Universe Malaysia 2020 iaitu Francisca Luhong James berdepan detik cemas apabila mendakwa dia diganggu seorang lelaki tidak dikenali ketika berada di sebuah hotel di ibu negara pada Selasa lalu.

Tidak hanya diekori, Francisca berkata, lelaki yang memakai jubah putih serta berkopiah itu turut mencalit sesuatu pada bahagian lehernya dipercayai minyak yang membuatkan dia ketakutan sebelum menelefon rakan untuk mendapatkan bantuan.

"Selepas selesai temu janji di spa, saya turun ke lobi hotel untuk menunggu pemandu e-hailing. Sebaik duduk di sofa menunggu, saya bertemu dengan lelaki itu sekali lagi.

"Lelaki yang sama dengan pakaian yang sama. Paling menakutkan dia meletakkan sesuatu pada lehernya seperti minyak. Saya sangat takut dan terus menghubungi rakan untuk dapatkan bantuan pengawal keselamatan," katanya.

frans1 - 1

Kenyataan yang didedahkan oleh Francisca.

Francisca berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya.

Dalam pada itu, Francisca mendedahkan lelaki itu adalah individu sama ditemuinya kira-kira setahun lalu di sebuah hotel lain di Kuala Lumpur.

Dedahnya, ketika itu lelaki berkenaan tampil dengan pakaian sama malah berani mendekatinya mengajak keluar minum meskipun ditolak secara baik.

ARTIKEL BERKAITAN: Miss Universe Malaysia 2020, Francisca Luhong menggigil selepas disahkan positif Covid-19

ARTIKEL BERKAITAN: Mula-mula tiada penaja, akhirnya peserta Miss World Malaysia dapat terbang ke London dengan 8 bagasi

Apa lebih mengejutkan kata Francisca, lelaki itu turut berani mengajaknya untuk berbual di bilik hotelnya membuatkan dia takut dengan individu tersebut.

"Setahun yang lalu, sewaktu saya sedang menunggu rakan sebelum ke Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW), ada seorang lelaki berjubah bertanya sama ada saya seorang diri dan tujuan saya di sana.

"Saya cuba mengelak daripadanya namun dia masih berkeras dan mempelawa untuk minum kopi atau bersembang di bilik hotelnya," ujarnya.

Mungkin orang akan ingat dengan berpakaian jubah seperti itu, dia seorang yang baik. Disebabkan itu saya rasa pihak hotel tidak menghalaunya.

FRANCISCA LUHONG

MISS UNIVERSE MALAYSIA 2020

Bekas Miss Universe Malaysia itu juga tidak tahu sama ada kemunculan lelaki sama itu adalah secara kebetulan atau dia memang mengekorinya.

"Paling menakutkan individu itu adalah lelaki yang sama. Saya tidak tahu ia hanya satu kebetulan atau dia memang stalker?

"Saya sudah rasa tidak lagi selamat dan berharap orang lain tidak ditimpa nasib yang sama. Tolong berhati-hati kerana dunia kini sudah tidak lagi selamat," jelasnya.

Sementara itu, Francisca ketika dihubungi mStar berkata, dia baharu sahaja selesai membuat laporan di salah sebuah balai polis di Kuala Lumpur pada Rabu berhubung insiden berkenaan.

frans2 - 1

Francisca mengakui kini sudah tidak berasa selamat.

Kata Francisca, sebelum ini dia tidak sempat membuat aduan berhubung gangguan tersebut kerana bergegas dengan urusan lain namun kali ini tidak akan berdiam diri.

Tambahnya, tindakan memuat naik gambar lelaki tersebut juga bukan tujuan untuk membuka aib, sebaliknya ingin memberi kesedaran kepada masyarakat supaya tidak melalui nasib sama.

"Saya baharu sahaja buat laporan polis untuk keselamatan dan melindungi diri. Sekali lagi saya ingin tegaskan, saya memuat naik gambar lelaki itu bukan mahu membuka aib, tetapi sekadar nak beri kesedaran kepada semua.

"Mungkin orang akan ingat dengan berpakaian jubah seperti itu, dia seorang yang baik. Disebabkan itu saya rasa pihak hotel tidak menghalaunya.

"Saya tidak mahu keluarga dan rakan-rakan saya mengalami perkara yang sama kerana ia sangat menakutkan," katanya.

Sebagai peringatan untuk semua khususnya kaum wanita, anda hendaklah lebih berhati-hati jika berdepan situasi mencurigakan seperti dihadapi Francisca.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain