PELAKON Sharnaaz Ahmad menyifatkan kes jenayah yang sedang dihadapinya ketika ini sebagai warna dalam kehidupan. Sharnaaz atau Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 38, berkata, pertuduhan itu bagaimanapun tidak menganggu aktiviti hariannya sebagai seorang selebriti kerana apa yang berlaku adalah lumrah sebagai seorang manusia. "Insya Allah tiada apa yang menganggu kerja harian saya dan apa yang berlaku adalah warna dalam hidup yang perlu dilalui. "Jadi kita kena nikmati sahaja warna-warna kehidupan itu walaupun warna itu kadang-kadang tak elok, kita harung sahaja," katanya kepada mStar. Kes Sharnaaz akan disebut semula pada 6 Mac depan. Terdahulu, Sharnaaz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Jenayah, Kuala Lumpur atas pertuduhan menumbuk dan menendang penghuni sebuah kondominium di Segambut pada Jun lalu. Pengakuan itu dibuat di hadapan Majistret Atiqah Mohamed@Mohamad Saim selepas pertuduhan terhadapnya dibaca jurubahasa mahkamah. Sharnaaz dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM2,000 oleh seorang penjamin sebelum kes tersebut disebut semula pada 6 Mac depan bagi serahan dokumen. ARTIKEL BERKAITAN: Sharnaaz Ahmad mengaku tak bersalah tumbuk, tendang penghuni kondominium ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tak bodoh untuk buat begitu!” - Sharnaaz Ahmad Dalam pada itu, Sharnaaz berkata, dia sudah bersedia berdepan dengan perbicaraan kes berkenaan memandangkan ia sudah pun berlaku. Kata Sharnaaz, setiap apa yang berlaku mempunyai sebab tersendiri dan berharap ia akan selesai dengan baik. "Nak kata bersedia atau tidak, saya kena juga sedia sebab benda pun dah berlaku. Benda yang terjadi ada sebab. Tetapi lelaki kalau gaduh lain... gaduh hari ini, esok jadi kawan baik. SHARNAAZ AHMAD PELAKON "Bagi saya ini basic sebab benda ini lelaki sama lelaki, jadi ada perangai kita sendiri. Tetapi lelaki kalau gaduh lain... gaduh hari ini, esok jadi kawan baik," katanya. Sementara itu, peguam pelakon itu, Datuk Abu Bakar Isa Rahmat memaklumkan pihaknya akan mengemukakan satu permohonan representasi kepada pihak pendakwaan untuk menggugurkan kes berkenaan jika dibenarkan mahkamah. Bagi kes tersebut, Sharnaaz didakwa dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali. Terdahulu pelakon filem Jebat itu telah direman selama tiga hari pada Jun 2022 kerana disyaki terlibat dalam kes berkenaan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube