PELAKON Afiq Muiz akhirnya memunculkan diri di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam pada pagi Khamis bagi prosiding tuntutan fasakh dibuat isterinya, Pachara Apin. Tampil mengenakan baju kemeja hitam dan bersongkok, Afiq atau Muhammad Afiq Muiz Azman Shah, 31, bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen berhubung isu tuntutan fasakh dibuat Pachara sebelum ini. Pachara pula ketika ditemui pemberita sebelum masuk ke dewan mahkamah memberitahu dia berharap segala urusan berhubung tuntutan fasakh terhadap aktor itu berjalan lancar dan mahu kemelut rumah tangganya segera berakhir. Pelakon itu yang hadir bersama dua orang saksi juga berkata, dia sudah tidak kisah sekiranya Afiq mahu hadir atau pun tidak pada prosiding tersebut kerana kes tetap akan berjalan. Kemelut rumah tangga pasangan ini masih tiada penyelesaian. "Saya tak perlukan kehadiran Afiq sebab kalau tak hadir pun tetap berjalan juga. Saya harap kes berjalan lancar hari ini, doakan saya," katanya kepada pemberita. Dalam pada itu, peguam syarie mewakili Pachara iaitu Suriati Ab Ghani berkata, kehadiran Afiq akan melambatkan proses tuntutan fasakh kerana akan ada kemungkinan pelakon itu tidak bersetuju dengan dakwaan culas membayar nafkah. ARTIKEL BERKAITAN: Afiq Muiz dakwa isteri ada orang lain, tak mudah hadap wajah Pachara Apin selepas diduakan ARTIKEL BERKAITAN: Afiq Muiz minta isteri tak buat cerita bohong, adik pula dakwa Pachara pernah maki ibu "Kalau dia datang, ia akan melambatkan proses keterangan saksi pada hari ini sebab prosesnya akan berpatah balik ke belakang. "Hari ini adalah sesi keterangan saksi, sekiranya dia (Afiq) setuju dan mengaku tak memberi nafkah, pihak kami boleh mulakan proses fasakh tetapi kalau sebaliknya, pihak ami perlu masukkan pembelaan bertulis," jelasnya. Sebelum ini, Pachara menjelaskan dia membuat tuntutan itu selepas digantung tak bertali sejak Julai 2021. Peguam Pachara, Suriati Ab Ghani. Ini termasuk permohonan bercerai secara baik yang difailkan tahun lalu tidak mendapat kerjasama Afiq apabila pelakon itu gagal menghadirkan diri ke mahkamah. Isu membabitkan rumah tangga pasangan itu kecoh apabila pada 14 Mei 2021, Pachara membuat laporan polis mendakwa Afiq mencederakannya. Untuk rekod, Afiq dan Pachara mendirikan rumah tangga pada 2019, namun pasangan itu masih belum dikurniakan cahaya mata. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!