suria

“Biar menangis air mata darah, kami terima” - Yusof Haslam reda Syamsul setuju cerai Puteri Sarah, minta jaga silaturahim demi anak

Yusof mahu hubungan dengan Sarah akan terus baik.

PENERBIT Datuk Yusof Haslam reda dengan keputusan dibuat Syamsul Yusof dan Puteri Sarah yang sepakat untuk bercerai secara baik bagi menamatkan kemelut rumah tangga mereka yang berlarutan selama lebih empat tahun.

Kata Yusof, 69, meskipun dia dan isteri, Datin Patimah Ismail sedih perkahwinan anak dan menantunya itu akan berakhir dengan perpisahan namun berharap mereka mengekalkan hubungan baik demi dua anak mereka.

"Benda sudah berlaku. Mestilah saya dan isteri sedih kerana rumah tangga yang dibina selama 10 tahun musnah disebabkan satu kesilapan. Tapi benda ini tak boleh nak patah balik... jadi yang dah lepas itu, biarkanlah.

"Kami sentiasa mendoakan yang terbaik untuk Puteri Sarah dan dia akan tetap menjadi menantu kami malah hubungan dengan besa juga kekal baik selepas ini," katanya kepada mStar ketika dihubungi pada petang Isnin.

yusof haslam 2

Yusof dan Patimah tetap anggap Puteri Sarah sebagai menantu.

Mengulas mengenai pertemuan Syamsul dan Puteri Sarah pada malam Ahad, Yusof memberitahu dia tidak mengetahui tentang perkara tersebut.

Bagaimanapun secara peribadi, dia bersykur akhirnya kedua-dua pihak mencapai kata sepakat setelah sekian lama tidak berjumpa dan mengharungi pelbagai dugaan dalam perkahwinan.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Puteri Sarah, Syamsul sempat berbuka puasa bersama... Setuju cerai tanpa pergaduhan malah hubungan lebih baik sebagai kawan

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Rundingan buntu... Syamsul dan Puteri Sarah akhirnya sepakat untuk bercerai

"Baguslah mereka berjumpa awal daripada terus bertekak di mahkamah. Sekurang-kurangnya mereka dapat satu penyelesaian dan sekiranya keputusan itu buat kami mengalir air mata darah sekalipun, kami tetap terima.

"Kita tidak tahu apa yang Puteri Sarah lalui dan dia ada pilihan sendiri dalam menentukan kehidupannya. Itu haknya dan dia tahu kenapa hendak berpisah," ujarnya.

Pada pagi Isnin Syamsul, 39 dan isteri pertamanya Puteri Sarah, 38, hadir di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan bagi sebutan laporan keputusan Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang dibuat pada 24 Mac lalu.

syamsul 1

Syamsul akhirnya setuju menceraikan Puteri Sarah.

Bagaimanapun mereka memaklumkan sudah mencapai kata sepakat untuk bercerai secara baik selepas bertemu pada malam Ahad.

Sehubungan itu, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mendengar kes itu menetapkan 18 April ini bagi membolehkan mereka merekodkan terma dan syarat sebelum bercerai.

Untuk rekod Syamsul dan Puteri Sarah bernikah pada 8 Mac 2014 dan mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 5 tahun.

Pada 6 Januari lalu, Syamsul mendedahkan sudah bernikah dengan pelakon Ira Kazar yang didakwa menjadi orang ketiga dalam rumah tangga mereka di Thailand dengan berwakil walikan bapanya, Kazar Saisi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain