suria

Ismahalil Hamzah bersumpah tidak terlibat edar dadah, dakwa polis serbu acu pistol ketika mahu solat di bilik

Ismahalil berdepan hukuman mati jika sabit kesalahan.

BEKAS penyampai radio Ismahalil Hamzah bersumpah tidak pernah terlibat dalam sindiket pengedaran dadah selain menegaskan penemuan beg berisi barang terlarang itu berserta wang tunai RM8,000 bukan miliknya.

Ismahalil, 50, mendakwa dia tidak pernah melihat beg yang ditemukan di dalam biliknya itu dan menafikan pernah mengambil dadah untuk tujuan peribadi.

Bekas penyampai Bapakku FM itu memberi keterangan itu di kandang saksi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa ketika perbicaraan kes tuduhan mengedar dadah jenis kanabis dua tahun lalu.

isma2 - 1

Ismahalil nafi mengambil dadah.

Ismahalil selaku Orang Kena Tuduh (OKT) turut memberitahu mahkamah, ruang yang diserbu bukan bilik utama tetapi ia digunakan krew Bapakku FM dan tetamu untuk menunaikan solat dan berehat.

Jelasnya kepada mahkamah, sebelum serbuan dibuat, dia masuk ke bilik berkenaan untuk menunaikan solat Asar namun selepas beberapa saat, pihak polis mengetuk lalu menolak dan mengacukan pistol ke arahnya.

Dia juga mendakwa diminta mengambil sebuah beg di dalam bilik tersebut tanpa mengetahui apa-apa.

ARTIKEL BERKAITAN: Ismahalil diperintah bela diri kes edar dadah, berdepan hukuman mati

ARTIKEL BERKAITAN: Surat dari penjara... Penyampai radio Isma Halil luah rasa rindu mahu peluk cium ibu, tak dapat tunai janji dengan arwah bapa

Sepanjang perbicaraan, OKT dilihat tenang menjawab semua soalan diajukan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad.

Sementara itu, selain OKT, empat orang saksi lain turut tampil memberi keterangan berhubung kes berkenaan termasuk isterinya iaitu Nor Haslinda Abd Manaf.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin kemudiannya menangguhkan perbicaraan pada 31 Mei.

553

Ismahalil turut berdepan tuduhan mengedar dadah.

Sementara itu peguam mewakili Ismahalil iaitu Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar ketika ditemui pemberita berkata, pasukannya melakukan yang terbaik dan akan terus bercakap benar demi menegakkan keadilan buat anak guamnya.

“Kami bersyukur sesi perbicaraan hari ini berjalan lancar. Kami di sini tidak menipu dan bercakap benar, itu sahaja,” ujarnya.

Untuk rekod, Ismahalil mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengedar dadah jenis kanabis seberat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 5.35 petang, 27 Ogos 2021.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain