suria

Hakim Syarie nasihat cerai, Farid nak pujuk lagi... Siap ‘tabur’ barang kemas untuk Diana

Farid enggan melepaskan Diana.

PELAKON dan pengarah Farid Kamil dinasihatkan untuk melafazkan talak terhadap isterinya, Diana Danielle selepas laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) dibacakan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada petang Selasa.

Ini kerana mahkamah mendapati wujud shiqaq (perbalahan berpanjangan) dalam rumah tangga pasangan itu yang tidak dapat diselesaikan.

Farid bagaimanapun tetap dengan pendiriannya enggan melafazkan cerai terhadap Diana ketika ditanya Hakim Syarie Shukran Yusof sama ada dia selaku defendan sedia menceraikan isterinya.

"Saya tidak setuju untuk lafaz talak," kata Farid.

Farid Diana Anak-Anak

Farid dan Diana mempunyai dua orang anak.

Susulan itu, Shukron memerintahkan kes pasangan berkenaan dilanjutkan dengan melantik hakam.

Bagi proses berkenaan, Shukron mengarahkan melantik hakam keluarga dan menetapkan 15 Jun ini sebagai sebutan kes dan lantikan hakam.

Pada tarikh sama, mahkamah turut menetapkan sebutan kes permohonan nusyuz dibuat Farid terhadap Diana.

ARTIKEL BERKAITAN: Farid Kamil hadir bersama ibu bapa sebutan kes nusyuz, laporan JKP penentu hala tuju perkahwinan dengan Diana

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Farid Kamil dapat kelonggaran tambah bilangan hari jumpa anak-anak, mahu bawa Diana sambut Aidiladha di Kedah

Sementara itu, Farid ketika ditemui pemberita tetap optimis dapat mempertahankan rumah tangganya yang dibina sejak 11 tahun lalu.

Apatah lagi kata pelakon filem Remp-It itu, Diana turut menerima hadiah pemberiannya berupa enam bentuk cincin dan dua utas rantai yang diserahkan melalui anak-anaknya.

"Usaha memujuk sudah saya lakukan, lebih 10 kali usaha untuk berbaik semula. Saya saya isteri saya dan dalam situasi sekarang ini pun saya masih mencuba.

"Alhamdulillah hadiah yang saya serahkan melalui anak-anak pun dia ada terima," katanya.

Mengulas mengenai tindakannya memfailkan nusyuz terhadap Diana, Farid menjelaskan dia bukan berniat memburukkan keadaan tetapi ia dilakukan bagi menegakkan hak sebagai seorang suami mengikut hukum Islam.

Pada 20 Mac lalu, Farid enggan melafazkan talak terhadap Diana dengan alasan masih sayangkan isterinya itu selepas aktres berkenaan memfailkan penceraian secara baik terhadapnya.

Untuk rekod, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10 dan Nur Aurora berusia 8 tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain