ENGGAN lebih banyak fitnah timbul berhubung dakwaan menjalinkan hubungan cinta dengan suami orang, pelakon Shakilla Khoriri tampil menjawab beberapa tuduhan yang mengaitkan dirinya dengan isu berkenaan. Shakilla atau Nurul Shakilla Mohd Khoriri, 34, berkata dia kecewa dan berasa sedih apabila melihat keluarganya turut terkesan dengan fitnah yang disebarkan itu. Malah, dia menegaskan lelaki yang dikaitkan itu bukanlah suami orang, sekaligus menafikan dakwaan dirinya seorang perampas. Shakilla beri ruang buat pemfitnah mohon maaf. "Saya kecewa apabila melihat emak saya menangis. Gambar yang dikongsi itu adalah gambar lama. Awak pasti ke dia itu suami orang? "Saya ada bukti dia pernah jadi suami orang... gambar itu pada bulan Ogos dan September dan ketika itu dia memang sah bukan lagi suami orang,” katanya menerusi temu bual bersama Melodi pada Ahad. Dalam pada itu, pelakon drama Adam dan Hawa ini juga turut memohon maaf atas tersebarnya foto mesra dia bersama lelaki berkenaan. ARTIKEL BERKAITAN: Shakilla Khoriri ulas foto laga kepala, lentok di dada suami orang... Ajak penyebar fitnah bersemuka ARTIKEL BERKAITAN: Tersungkur di tahap paling bawah dalam hidup, Shakilla Khoriri tak lagi simpan dendam dalam hati - "Sangat bahagia dan tenang" Mengakui kesilapan yang dilakukan, Shakilla memberitahu foto yang tersebar itu merupakan gambar peribadi yang dicuri daripada telefon bimbitnya. "Mengenai gambar mesra, saya minta maaf. Itu memang khilaf saya, tidak sepatutnya saya melakukan perkara itu. "Apa yang saya rasa tidak boleh dimaafkan, awak mencuri gambar peribadi saya. "Saya boleh mendakwa awak atas kesalahan mencuri, menyebar dan isi kandungan emel awak yang mengatakan saya mengikis duit suami orang," ujarnya. Bukan hanya didakwa menjalinkan hubungan dengan suami orang, Shakilla juga kesal apabila dituduh melakukan sihir untuk memikat lelaki berkenaan. Malah, aktres ini juga dilihat mengalirkan air mata kerana terlalu sedih berdepan tuduhan berat itu. "Siapa yang cakap saya mandrem (sihir) suami orang, saya memang tidak akan maafkannya melainkan dia sendiri minta maaf kepada saya dan bapa saya. "Saya tidak pernah terfikir untuk melakukan kesilapan di sisi Allah. Ingat saya ini jahat sangat ke... saya masih ada agama," tegasnya. Tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pemfitnah, Shakilla bagaimanapun berkata dia masih lagi memberi peluang untuk pelaku berkenaan tampil membuat memohon maaf. "Saya maafkan awak (pengirim emel) sekiranya awak rasa nak datang minta maaf kepada saya. Saya dengan berbesar hati akan tarik balik apa yang saya telah suruh peguam saya lakukan. "Kalau awak merasakan dengan menyebarkan perkara-perkara itu boleh buat awak puas hati... boleh menjatuhkan saya, menutup pintu rezeki saya... awak salah. "Impak apa yang awak buat bukan pada saya tetapi pada anak saya," katanya. Sebelum ini, mStar menerima kiriman emel daripada individu tidak dikenali yang mendakwa Shakilla sedang hangat menjalinkan hubungan dengan suami orang. Menurut sumber itu lagi, lelaki tersebut seorang ahli perniagaan dan pernah mengikuti Shakilla ke Sabah bagi menjalani penggambaran sebuah program televisyen. Shakilla memberi amaran kepada si pengirim e-mel. Ketika dihubungi mStar, aktres berkenaan tidak menolak jika ada pihak berasa kurang senang dengan dirinya sehingga bertindak menghantar emel fitnah berkenaan. Untuk rekod, Shakilla pernah mendirikan rumah tangga dengan penyampai radio Fizi Ali atau Mohd Hafizudin Alimudin, 34, pada 18 Februari 2018 namun berpisah pada Disember 2021. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Ameena Sofia yang kini berusia empat tahun. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!