suria

Jual filem ‘Ada Apa Dengan Dosa’ secara haram, Shopee tak setuju dakwaan tutup mata langgar hak cipta

Ayu (kiri) mengambil tindakan terhadap platform e-dagang Shopee.

SISTEM operasi penjualan produk yang dikendalikan syarikat Shopee Mobile Malaysia Sdn Bhd menjadi perhatian utama dalam perbicaraan melibatkan kes saman yang difailkan oleh produksi Pencil Pictures and Records Sdn Bhd.

Tampil sebagai saksi pertama defendan, Pengurus Kanan Operasi syarikat e-dagang itu memberitahu mahkamah pihaknya tidak bersetuju apabila peguam mencadangkan syarikat itu cuba menutup mata apabila berlaku penjualan produk melibatkan hak cipta.

Kenyataan tersebut dibuat di hadapan Hakim Datuk Mohd Radzi Harun menerusi perbicaraan yang berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pagi Isnin.

Peguam mewakili Pencil Pictures iaitu Aizul Rohan memberitahu mahkamah keraguan juga timbul terhadap teknologi dan perisian Shopee yang sepatutnya boleh membuat tapisan jika berlaku penjualan secara haram atau melanggar peraturan hak cipta.

"Prosiding hari ini (Isnin) lebih kepada untuk meneliti cara Shopee beroperasi. Mereka tahu filem ada hak cipta untuk edaran namun mereka seolah-olah pejam mata berkaitan itu.

ayu puteh 3

Barisan peguam yang mewakili Pencil Pictures and Records Sdn Bhd.

"Bagaimana Shopee tidak tahu berlaku pelanggaran undang-undang (hak cipta)sedangkan mereka sudah ada sistem yang boleh mengesan kata kunci jualan termasuk produk berkaitan filem," katanya kepada mStar ketika ditemui selepas perbicaraan berlangsung.

Dalam masa sama, saksi juga menyebut pihaknya tidak pernah mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap 11 pemilik akaun jualan yang membuat jualan secara haram filem terbitan Pencil Pictures berjudul Ada Apa Dengan Dosa (AADD) pada tahun 2020.

Saksi pada awal prosing turut menegaskan pihaknya bertanggungjawab dalam mengemas kini setiap akaun jualan dan akan menyekat mana-mana pihak yang melanggar peraturan.

ARTIKEL BERKAITAN: Filem Ada Apa Dengan Dosa dijual dengan harga serendah RM1, penerbit nak saman laman e-dagang

ARTIKEL BERKAITAN: Wanna Ali panik ibu tiba-tiba lumpuh, Ayu Puteh rebah di rumah rupanya dijangkiti Influenza A

Sementara plaintif turut mendakwa Shopee gagal bertindak segera dalam tempoh empat bulan (Mei 2020 hingga Ogos 2020) berlakunya penjualan secara atas talian.

Pencil Pictures yang merupakan milik penerbit Datuk Ayu Puteh atau Normashayu Puteh, 47, memfailkan saman terhadap Shopee pada 7 September 2020 selepas mendapati platform tersebut membenarkan filem AADD dijual secara haram.

Kes dibicarakan di bawah Akta Hak Cipta 1967.

Ayu bagaimanapun tidak hari ke mahkamah susulan terkena jangkitan Influenza A dan kini sedang menerima rawatan di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya.

ayu puteh 2

Ayu Puteh tidak dapat hadir pada perbicaraan itu kerana dijangkiti Indluenza A.

Sementara itu, Shopee dalam satu kenyataan kepada mStar menegaskan tidak akan bertolak ansur terhadap pelanggaran hak harta intelek dan akan mengambil tindakan terhadap pengguna yang melanggar polisi seperti tertera di dalam Syarat Perkhidmatan Shopee.

"Kami mempunyai saluran efisien di mana pemegang harta intelek boleh memaklumkan tentang adanya kemungkinan pelanggaran harta intelek yang selaras dengan piawaian antarabangsa.

"Kami akan mengambil tindakan segera untuk memastikan kepentingan pemegang harta intelek terpelihara apabila isu ini dimaklumkan kepada kami," kata kenyataan itu.

Shopee juga komited untuk membekalkan pengguna dengan pengalaman membeli-belah yang selamat, boleh dipercayai dan memuaskan, dan memelihara hak pemegang harta intelek.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain