suria

[V] Ambil kenderaan mewah ganti kereta lama, bekas madu Miera Liyana tak terima nafkah RM15,000 sejak September 2021

Isu melibatkan Adibah dan Rosland masih belum menemui jalan penyelesaian.

BEKAS madu pelakon Miera Liyana iaitu Adibah Abd Mutalib mendakwa sudah tidak menerima nafkah sebanyak RM15,000 daripada bekas suami, Rosland Othman sejak September 2021.

Adibah, 50, berkata, Rosland hanya memberi nafkah penuh selama lapan bulan selepas berkahwin dengan aktres berkenaan pada Julai 2020.

"Masa mula-mula dia ada bagi (nafkah) dalam tujuh hingga lapan bulan selepas kahwin lain tapi bila hampir setahun, dia mula mengabaikan.

"Mula tidak balik, duit pun dia tak bagi... Dia tidak bagi sepenuhnya pada September 2021," katanya kepada pemberita.

Adibah 1

Adibah memberitahu Rosland masih membayar bil setiap bulan dan memberi wang perbelanjaan apabila diminta anak-anak.

Adibah berkongsi perkara itu ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Khamis bagi perbicaraan nusyuz yang difailkan Rosland terhadapnya.

Rosland memfailkan tuntutan itu selepas mendakwa Adibah melanggar arahan yang melarangnya untuk keluar dari rumah pada 24 September 2021.

Dalam pada itu, Adibah berkata, sejak dia membawa anak-anak pergi ke sebuah hotel pada tarikh berkenaan, Rosland mula menyekatnya sehingga ke hari ini termasuk berhenti memberi nafkah.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Tak jumpa sejak Februari, bekas madu Miera Liyana akhirnya dapat peluk anak di mahkamah... “Saya okay kalau mereka pilih bapanya”

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tak tahu apa dia nak” - Suami Miera Liyana teruskan tuntutan nusyuz, bekas isteri pertama sedia bela diri

Bagaimanapun jelasnya, Rosland masih memberi perbelanjaan sekiranya diminta oleh anak-anak selain membayar bil termasuk ansuran rumah, kereta, elektrik, air dan sebagainya.

"Rosland ada bayar sikit tapi bila anak-anak minta. Dia bukan tak bagi langsung, dia bayar ansuran rumah, kereta, air, api (elektrik), internet... Bukan tak bayar tapi yang asas dia lunaskan.

"Terima kasih untuk itu Rosland, cumanya duit poket dia tak bagi. Tak dapat nak pergi klinik gigi, rawatan muka, isi minyak," katanya.

Sementara itu, Adibah selaku defendan kes berkenaan memberitahu mahkamah kereta mewah yang diberikan plaintif sebelum ini juga sudah ditarik balik dan digantikan dengan kereta lebih lama.

Terima kasih untuk itu Rosland, cumanya duit poket dia tak bagi. Tak dapat nak pergi klinik gigi, rawatan muka, isi minyak.

ADIBAH ABD MUTALIB

BEKAS ISTERI ROSLAND OTHMAN

Adibah ketika ditanya penguamnya, Junid Ramali berkenaan ingkar arahan suami kerana keluar rumah pada 24 September, dia tidak bersetuju dengan tuduhan itu.

Defendan memberitahu mahkamah dia telah membuat permohonan maaf dan menyatakan sebab membawa anak-anak keluar pada tarikh tersebut.

"Saya tak setuju mengatakan saya ingkar. Saya juga telah cakap elok-elok kenapa nak bawa anak keluar. Sebelum ini tidak pernah ada masalah," ujarnya.

Adibah memberi keterangan itu di hadapan Hakim Syarie, Abdul Fattah Kamarudin.

Adibaaa

Adibah berharap isu rumah tangganya segera berakhir.

Abdul Fattah kemudiannya menetapkan untuk menyambung perbicaraan itu pada 31 Oktober depan bagi pihak defendan menyediakan keterangan saksi.

Pada 2 Ogos lalu, Adibah dan Rosland yang juga ahli perniagaan sah bercerai talak satu selepas 28 tahun mendirikan rumah tangga.

Pasangan itu berkahwin pada 3 Jun 1995 dan dikurniakan lima cahaya mata perempuan yang berusia antara 11 hingga 26 tahun.

Rosland juga berkahwin dengan Miera pada Julai 2020 dan hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain