suria

Perkahwinan dengan Noor Nabila bukan kegagalan, ia sudah tertulis - Engku Emran

Emran dan Nabila pilih jalan berpisah selepas dua tahun berkahwin.

USAHAWAN Engku Emran memohon orang ramai menghentikan spekulasi berkenaan rumah tangganya bersama isteri iaitu Noor Nabila Mohd Noor yang sedang hangat diperkatakan.

Emran, 48, turut menyelar tindakan segelintir pihak yang memberikan komen terhadap berita tentang rumah tangga mereka seperti tular di media sosial.

Kata Emran, sejak dahulu dia tidak pernah memberi sebarang respon berkenaan khabar angin yang berlaku dan kali ini mengambil pendekatan menjelaskan bagi mengelak fitnah berterusan.

engku emran 2

Emran mohon hormati privasi keluarga Nabila.

“Saya terpanggil dan bertanggungjawab untuk berkata sesuatu dengan niat untuk menghindari fitnah dari tidak terkawal.

“Jangan kita komen seperti kita nampak sangat tidak bijak. Jangan kita komen seperti kita kenal sangat orang yang kita langsung tidak kenal.

“Jangan kita komen macam kita tidak akan ada ujian yang menanti... jangan keluarkan kata-kata atau hasilkan cerita macam kita tiada agama,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Engku Emran, Noor Nabila sah nak cerai... Suami keluar rumah sejak Januari lalu

ARTIKEL BERKAITAN: Spekulasi rumah tangga dengan Engku Emran kembali hangat, Noor Nabila padam semua gambar suami di IG

Emran berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya pada malam Jumaat.

Dalam pada itu, Emran berkata dia pernah memberitahu Nabila bahawa ketiga-ketiga perkahwinan mereka sebelum ini bukanlah satu kegagalan, namun masih perlu mencari kebahagiaan masing-masing.

Jelas Emran, hanya mereka yang pernah berumah tangga yang memahami setiap ujian perkahwinan dan menyifatkan ia adalah sebuah takdir yang tertulis.

Perkahwinan sangat mencabar... yang pernah berkahwin akan tahu. Yang mana belum berkahwin jangan sembang kuat sangat

ENGKU EMRAN

“Kami berdua telah mengharungi tiga perkahwinan, kami tahu apa yang kami mahukan dalam hidup... namun kami terpaksa mencari kebahagiaan sendiri.

“Perkahwinan sangat mencabar... yang pernah berkahwin akan tahu. Yang mana belum berkahwin jangan sembang kuat sangat.

“Saya beritahu Nabila tiga perkahwinan ini bukanlah satu kegagalan... semuanya sudah tertulis dan kami terpaksa akur,” ujarnya.

engku emran 3

Emran dan Nabila bersama anak-anak hasil perkahwinan terdahulu.

Sementara itu, Emran turut berpesan orang ramai menghormati privasi Nabila dan jangan menambahkan beban pada keluarga mereka.

Tambah Emran, dia dan Nabila akur dengan takdir ini dan menerima segalanya dengan hati terbuka.

“Jaga adab dan hormati Nabila dan saya. Kami masih ada keluarga, mak dan ayah... jangan menambah kesakitan mereka.

engku emran 4

Perkahwinan Emran dan Nabila sering jadi perhatian ramai.

“Kami tidak pernah menganggu hidup sesiapa. Ini ujian untuk kami dan Alhamdulillah kami reda,” katanya.

Sebelum ini, Nabila memaklumkan bakal bercerai dengan Emran tidak lama lagi.

Menurut Nabila, mereka sepakat untuk bercerai selepas usahawan itu keluar daripada rumahnya sejak awal Januari lalu.

Berita perceraian itu mengundang pelbagai reaksi netizen termasuk meninggalkan komen di media sosial mengatakan mereka tidak mengambil pengajaran daripada perkahwinan sebelum ini.

Untuk rekod, Nabila dan Emran bernikah pada 19 Mac 2021 dan ia merupakan perkahwinan ketiga buat Nabila selepas berpisah dengan Sharnaaz pada 9 Julai 2020.

Hasil perkahwinan dengan Sharnaaz, mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Jebat Jayden yang kini berusia lima tahun.

Sementara itu, Emran pula pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan penyanyi Erra Fazira pada 25 Oktober 2007 namun bercerai selepas tujuh tahun melayari alam rumah tangga dan mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya, 14.

Emran kemudiannya berkahwin dengan pelakon Indonesia, Laudya Cynthia Bella pada 8 September 2017 dan bercerai pada 2020.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain