suria

Kontrak pertandingan sentuh hak cipta punca lagu ‘Budi’ tak bertanding SFMM38, ini penjelasan Kmy Kmo

Kmy dan Luca menarik diri daripada pentas SFMM38.

KONTROVERSI penarikan diri daripada pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik Ke-38 (SFMM38) akhirnya terjawab apabila penyanyi dan komposer Kmy Kmo memperjelaskan punca lagu Budi tidak dipertandingkan.

Kmy atau nama sebenarnya Lukmanul Hakim, 34, berkata keputusan itu dibuat bersama rakan komposer iaitu Luca Sickta selepas berbincang dengan pihak pengurusan mereka, Universal Music Malaysia.

Kata Kmy, ini selepas mereka mendapati terdapat beberapa terma dan syarat pertandingan yang dirasakan tidak adil dan memutuskan untuk tidak masuk bertanding.

kmy1 - 1

Kmy dan Luca (kanan) sepakat untuk tidak bertanding di SFMM38.

"Universal memaklumkan ada beberapa terma dan syarat di dalam kontrak pertandingan untuk ke peringkat separuh akhir tidak dipersetujui.

"Ia menyentuh tentang hak cipta lagu kami yang dirasakan tidak berapa adil sekiranya kami terus bertanding.

"Maka saya dan Luca memutuskan untuk menarik diri, demi menjaga hak karya kami," katanya ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Tinggal beberapa jam sebelum hari ketiga SFMM38, Sufian Suhaimi umum tarik diri

ARTIKEL BERKAITAN: TV3 dapat surat 'Budi' tarik diri SFMM38 Khamis lalu, tak sempat cari pengganti

Dalam pada itu, Kmy memberitahu keputusan itu juga dicapai selepas dipersetujui oleh rakan duet mereka iaitu penyanyi Sufian Suhaimi.

"Selepas keputusan dibuat daripada pihak saya dan Luca selaku penulis dan komposer lagu Budi, kami memaklumkan terus kepada Sufian.

"Alhamdulillah, Sufian juga memahami tentang situasi yang berlaku," ujarnya.

Ia menyentuh tentang hak cipta lagu kami yang dirasakan tidak berapa adil sekiranya kami terus bertanding.

KMY KMO

PENYANYI/KOMPOSER

Sebelum itu, Kmy menerusi Instastory pada Ahad memberitahu dirinya sudah penat seolah-olah memberi gambaran tentang situasi yang dialami mereka.

Menerusi perkongsian dibuat, Kmy menulis 'semoga udara-udara dalaman kembali sihat dan bersih semula'.

Ditanya maksud perkongsiannya itu, Kmy memberitahu dia ingin menyampaikan mesej berharap agar apa jua pertandingan selepas ini dapat dianjurkan dengan telus dan bersih.

kmy3 - 1

Sufian (tengah) akur dengan keputusan penarikan diri Kmy dan Luca di SFMM38.

Kata Kmy, dia bimbang sekiranya Malaysia kehilangan bakat-bakat baharu dalam industri muzik.

"Saya berharap apa juga pertandingan yang ada selepas ini, jagalah pengkarya-pengkarya muzik negara ini dengan lebih telus tanpa ada tali untuk ditarik lepas.

"Malaysia terlalu banyak karya yang hebat. Kita takut akan kehilangan lebih banyak permata muzik baharu bila mana laluan untuk capai ke peringkat lebih tinggi itu terlalu sukar.

"Tak kira virus-virus dari kronisme, korupsi, politik dan sebagainya. Industri muzik pasti lebih sihat dengan bakat baru dan lama bagi menaikkan lagi mutu muzik tempatan," katanya.

Pada Ahad, Sufian membuat kejutan apabila mengumumkan menarik diri daripada SFMM38 untuk penyertaan lagu Budi.

kmy2 - 1

Kmy berharap pertandingan muzik dianjurkan secara telus.

Bagaimanapun penyanyi itu tidak menjelaskan secara terperinci mengenai keputusan dibuat sebaliknya hanya berterima kasih kepada peminat.

Untuk info, Budi merupakan lagu ciptaan Kmy Kmo dan Luca yang dinyanyikan bersama Sufian yang layak ke peringkat SFMM38 bersama 29 lagu lain.

Sebanyak 12 lagu berjaya melaykkan diri untuk bersaing di pentas Anugerah Juara Lagu yang dijangka berlangsung Mac tahun depan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain