suria

Liza Khairudin minta Menteri Komunikasi pandang serius isu kontrak penyampai radio agar ramai tak jadi mangsa

Liza mahu ada jalan penyelesaian untuk isu kontrak penyampai radio.

PERNAH berdepan situasi ditamatkan kontrak perkhidmatan serta merta, bekas penyampai radio Liza Khairudin berharap isu seperti ini akan mendapat perhatian kerajaan.

Kata Liza atau Khairu Norliza Khairudin, 38, ramai dalam kalangan rakan penyampai pernah mengalami nasib sama sepertinya sebelum ini namun perkara tersebut seakan tidak pernah ada jalan penyelesaian.

Justeru Liza sendiri berharap Menteri Komunikasi iaitu Fahmi Fadzil sedia mengadakan pertemuan dengan stesen radio kerajaan dan swasta bagi mengenal pasti punca kejadian seumpana itu.

tyzo 2

Fahmi (kanan) mahu berjumpa Tyzo selepas ditamatkan kontrak bersama Suria FM.

"Sudah ramai yang pernah terkena seperti saya dan percayalah dalam tempoh tiga atau lima tahun akan datang isu sama akan timbul semula.

"Jadi penamatan kontrak penyampai radio ini bukan suatu yang baru. Bagaikan tiada jalan penyelesaian dan tidak ada satu sistem terbaik untuk pekerjaan sebagai penyampai radio.

"Sebab itu saya harap pihak kementerian memandang serius dan berbincang dengan stesen radio. Dalam Malaysia ini bukan banyak pun stesen swasta, jadi tidak sukar untuk mencari satu jalan penyelesaian," katanya ketika dihubungi mStar.

Liza sebelum itu turut menulis secara terbuka tentang hasrat berkenaan selepas isu penamatkan kontrak bekas penyampai radio Suria FM iaitu Tyzo mendapat perhatian ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Fahmi Fadzil mahu atur pertemuan jumpa Tyzo

ARTIKEL BERKAITAN: Hot FM minta pendapat ramai nak pancing Tyzo

Kata Liza dia tidak berniat untuk mengeruhkan keadaan atau mencari publisti apabila berkongsi pengalaman ditamatkan kontrak pada tahun 2018 bersama sebuah stesen radio swasta lain.

Sebaliknya dia sekadar mahu mengingatkan majikan terdahulu bahawa tuntutan tunggakan bayaran kontrak sebanyak RM133,000 antara mereka masih belum selesai.

"Saya tiada niat nak serang mereka. Malah saya juga bukan mahu menangguk dalam air keruh susulan isu Tyzo. Saya hanya mahu ingatkan mereka saya kes melibatkan saya belum selesai.

Sudah ramai yang pernah terkena seperti saya dan percayalah dalam tempoh tiga atau lima tahun akan datang isu sama akan timbul semula

LIZA KHAIRUDIN

BEKAS PENYAMPAI RADIO

"Mereka seolah-olah main wayang dengan menunjuk perkara baik sedangkan mereka juga pernah buat perkara sama.

"Ibarat seperti masalah suami isteri yang belum selesai, tetapi mereka sudah sibuk campur tangan rumah tangga orang lain. Saya bukan serang mereka, sekadar ingatkan sahaja," ujarnya.

Liza sebelum ini pernah memfailkan saman terhadap bekas majikannya itu dan pada Februari 2020 Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur memerintahkan syarikat stesen radio berkenaan membayar tuntutan amaun gaji selama lapan bulan kepadanya.

tyzo 1

Kisah penamatan kontrak Tyzo mendapat perhatian ramai.

Bagaimanapun kes tersebut masih belum selesai selepas pihak terbabit membuat rayuan di Mahkaamh Tinggi dan Liza kalah terhadap tuntutan asalnya.

Bagaimanapun dia bersama peguamnya kembali memfailkan rayuan dan kes mereka bakal dibicarakan pada September 2024.

Tambah Liza isu perkhidmatan kontrak ini juga tidak seharusnya dipandang remeh dan pekerja sendiri perlu faham setiap terma sebelum menandatangani persetujuan.

"Apabila kes saya ini dibawa ke mahkamah barulah saya faham akan hak pekerja kontrak. Majikan tidak boleh tamatkan perkhidmatan serta-merta.

liza khairudin 2

Liza pernah berdepan nasih ditamatkan kontrak serta-merta.

"Majikan perlu mengikut prosedur tertentu sebelum tamatkan kontrak perkerja. Paling tidak ada surat amaran atau peringatan lisan. Jadi dalam kes ini pekerja perlu faham setiap terma dalam kontrak mereka," jelasnya.

Untuk rekod Liza memulakan kerjaya sebagai penyampai di stesen Hot FM pada 2014 sebelum beralih ke Kool FM pada 2016.

Kontraknya ditamatkan pada Ogos 2018 secara serta merta.

Untuk kes Tyzo, kontraknya yang disambung selama enam bulan bersama Suria FM akan berakhir pada Mac depan namun tugasnya sebagai penyampai Suria Petang tamat Jumaat lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain