USAHAWAN Mahadi Badrul Zaman sekali lagi menjadi bualan hangat netizen selepas tular dakwaan namanya tersenarai dalam senarai amaran pelabur oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) baru-baru ini. Tampil mengulas mengenai isu tersebut, Mahadi, 40, berkata dia tidak mengetahui mengenai perkara itu memandangkan dia tidak menerima apa-apa surat makluman daripada pihak berkenaan. Malah, bagi mendapatkan kepastian berhubung perkara itu, dia memberitahu akan ke pejabat SC pada pagi Selasa. Posting di aplikasi X yang tular tentang isu nama Mahadi dalam senarai SC. "Saya dalam perjalanan ke pejabat SC. Pertama sekali saya tidak ada terima apa-apa surat atau emel daripada pihak berkenaan mengatakan nak siasat atau apa-apa, memang tidak ada. "Saya pun tak tahu nak jawab macam mana sebab belum dapat kepastian dari pihak SC, jadi pagi ni baru nak ke sana sebab ramai sudah bertanya apa dah jadi ni? "Memang tiada jawapan yang kukuh buat masa ini tapi Alhamdulillah setakat ini saya rasa syarikat saya tidak buat perkara yang salah, menipu atau lakukan perkara haram," katanya ketika dihubungi mStar. ARTIKEL BERKAITAN: Tuduhan ‘scammer’ satu fitnah, suami Heliza sabar digelar penunggang agama... “Kasihan isteri kena tempias” ARTIKEL BERKAITAN: “Apa dia merepek tu?” - Tak pernah kenal atau jumpa Fathia Latiff, syarikat suami Heliza Helmi tiada perniagaan hartanah Dalam pada itu, suami kepada penyanyi Heliza Helmi itu mengakui terkejut apabila mengetahui namanya dikatakan tersenarai dalam sistem SC. Katanya, dakwaan tersebut boleh mendatangkan fitnah terhadap dirinya "Ikutkan dari dulu saya dah kena hadapi fitnah-fitnah tentang diri saya ni. Tapi bila nama saya masuk dalam sistem SC saya sendiri terkejut tambah pula bila dah viral memang sangat terkejut," ujarnya. Sementara itu, Mahadi berkata dia juga sudah menghubungi pihak polis bagi mendapatkan maklumat mengenai perkara itu. Mahadi akan berjumpa dengan pihak SC untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Bagaimanapun sehingga kini tiada laporan dibuat terhadap dirinya. "Saya sudah berhubung dengan pihak polis tetapi mereka kata tiada apa-apa laporan dibuat terhadap saya. "Tapi pihak SC masukkan nama saya dalam sistem saya pun pelik tentang perkara itu. "Agak serabut tapi saya akan cuba selesaikan perkara ini secepat mungkin," katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!