USAHAWAN Datuk Seri Adnan Abu tidak melihat langkah dua isterinya memfailkan cerai sebagai satu bentuk pakatan untuk mengenakannya tetapi ia sebenarnya berlaku secara kebetulan. Adnan atau lebih mesra dengan sapaan Datuk Red berkata, sebagai suami dia sendiri tidak menyangka dua isterinya iaitu Datin Seri Sharifah Norshafika Hassim dan penyanyi Adira Suhaimi mengambil tindakan tersebut. Walaupun pahit untuk ditelan, Adnan berkata, dia tetap berharap agar rumah tangganya dengan kedua-dua mereka dapat diselamatkan dan ia tidak berakhir dengan penceraian. Datuk Red tenang berdepan kemelut rumah tangga. "Mereka tidak berpakat cuma kebetulan masing-masing failkan cerai. Mereka ada hak tetapi saya tetap mahu mempertahankan rumah tangga kami. "Bayangkan tiba-tiba ada dua (isteri) tapi boleh hilang dengan sekelip mata... Kalau dikenangkan mungkin boleh cari perempuan lain tapi sekarang tidak, anak-anak pun sudah ramai. "Jadi saya mahu pertahankan, saya juga manusia lalai dan asyik minta maaf banyak kali tapi benda tetap berulang lagi. Biasalah dalam rumah tangga banyak berlaku salah faham," katanya kepada mStar. ARTIKEL BERKAITAN: Datuk Red reda jika cerai dengan Adira, anggap balasan dosa lalu ARTIKEL BERKAITAN: Adira mahu berpisah cara baik, elak tunjuk emosi menangis depan anak-anak Adnan ditemui selepas prosiding keputusan laporan Jawatakuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Rawang pada Selasa. Dalam pada itu, proses berlangsung hari ini tidak menemui penyelesaian dan mahkamah kemudiannya melanjutkan kepada proses Hakam yang akan berlangsung pada 24 April depan. Bagaimanapun Adnan tetap optimis dan percaya masih ada harapan buat dia dan Adira menyelamatkan perkahwinan mereka. "Saya nampak Adira masih ada hati lagi untuk saya tapi mungkin perwatakan kali ini berbeza sebab orang perempuan ini bila sudah sudah matang dan ada usaha sendiri dia nampak berdikari. Insya-Allah dapatlah kami beraya bersama. DATUK RED USAHAWAN "Saya cuba memujuk dia sebab ada masa lagi sehingga bulan April. Insya-Allah dapatlah kami beraya bersama," ujarnya. Sementara itu, peguam mewakili Adnan iaitu Muhammad Akmal Azman memberitahu permohonan cerai yang difailkan isteri pertama usahawan berkenaan akan disebut di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kuala Selangor pada 18 Mac ini. Untuk rekod, Adira pernah memfailkan permohonan cerai terhadap Adnan di mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat pada 1 April 2019. Bagaimanapun penyanyi berasal dari Sabah itu menarik semula permohonan dibuat bagi memberi peluang kedua kepada suami selain cuba berbaik demi anak-anak. Adira dan Datin Red pernah merakam video bersama-sama. Permohonan tersebut dibuat mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Adira dan Adnan berkahwin di Songkhla Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua. Hasil perkahwinan Adnan bersama isteri pertama iaitu Datin Seri Sharifah Norshafil Hassim mereka dikurniakan lima orang cahaya mata. Adnan juga pernah berkahwin ketika berusia 20 tahun namun bercerai selepas lima tahun bersama dan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!