suria

[V] Kakak kandung tak tahu masalah sebenar dengan isteri, Ippo Hafiz hantar notis enggan isu jadi besar

PENYANYI Ippo Hafiz menyifatkan kakak kandungnya iaitu Yazmin tidak mengetahui hal sebenar yang berlaku dalam rumah tangganya bersama isteri.

Ippo atau Ippo atau Muhammad Hafiz Yaziz, 34, berkata, dia menasihatkan agar pihak ketiga tidak ikut campur tangan bagi mengeruhkan lagi keadaan.

"Saya tidak mahu komen tentang pihak ketiga (kakak). Dia mungkin tidak tahu masalah luar dalam rumah tangga kami.

"Jadi lebih baik, saya menasihati mereka semua berhenti berkongsi di media sosial dan saya berharap netizen tidak menyalahtafsir tentang perkara ini," katanya kepada mStar.

IPPO2 - 1

Ippo (kiri) tidak mahu hal rumah tangga dikongsi di media sosial.

Ippo menjelaskan perkara itu ketika ditemui pada sebutan kedua kes tuntutan nusyuz yang difailkan terhadap Fara di Mahkamah Rendah Syariah Ampang, Selangor pada Selasa.

Penyanyi lagu Kekal Bahagia ini bagaimanapun memberitahu hubungannya bersama Yazmin masih lagi baik kerana mahu memutuskan ikatan kekeluargaan.

Kata Ippo, dia juga berharap agar kemelut rumah tangga yang dihadapi ini tidak memberi impak terhadap kerjayanya sebagai penyanyi.

"Hubungan saya dan keluarga (kakak) masih lagi baik. Walau bagaimanapun kita tidak boleh putuskan ikatan kekeluargaan.

ARTIKEL BERKAITAN: "Lindungilah maruah suami" - Ippo Hafiz masih sayang isteri, minta serah bukti ke mahkamah larang jumpa anak

ARTIKEL BERKAITAN: Ippo Hafiz dan isteri belum bercerai, hantar notis kepada pihak lempar tohmahan henti keluar kenyataan

"Cuma saya ingin tekankan isu rumah tangga ini hanya suami dan isteri sahaja yang tahu apa sebenarnya yang berlaku.

"Saya minta peminat yang suka mendengar lagu saya sebelum ini jangan campurkan isu peribadi dengan kerjaya saya," ujarnya.

Dalam pada itu, wakil peguam Ippo iaitu Fakhrul Azman Abu Hassan menegaskan penyanyi tersebut sudah menghantar notis kepada pihak yang berkenaan supaya tidak lagi membuat sebarang kenyataan di media sosial.

Menurut Fakhrul, perkara tersebut membuatkan Ippo tertekan kerana hampir setiap hati kenyataan berunsur fitnah dimuat naik di media sosial oleh pihak ketiga.

Saya tidak mahu komen tentang pihak ketiga (kakak). Dia mungkin tidak tahu masalah luar dalam rumah tangga kami.

IPPO HAFIZ

PENYANYI

"Bagi pihak Ippo, kita mohon segala kenyataan di media sosial diberhentikan dan tidak memperbesarkan lagi isu ini.

"Kami sudah berikan notis kepada pihak-pihak yang membuat kenyataan di media sosial dan berharap selepas ini tiada apa-apa lagi kenyataan berkenaan rumah tangga Ippo dan isteri.

"Biarlah mahkamah yang tentukan berkaitan masalah-masalah yang timbul. Perkara ini kalau dipanjangkan di media sosial, Ippo pun jadi stres juga," katanya.

IPPO3 - 1

Ippo sebelum ini memfailkan tuntutan nusyuz terhadap isterinya.

Pada pagi Selasa, Ippo dan isteri iaitu Fara Roslan hadir ke mahkamah bagi sebutan kedua tuntutan nusyuz.

Hakim Syarie Afif Sofiuddin mengarahkan Fara selaku defendan memfailkan jawapan kepada pembelaan kes nusyuz difailkan Ippo pada prosiding pada 24 Jun depan.

Afif juga menegur kegagalan peguam mewakili Fara yang tidak menghadirkan diri pada prosiding tersebut.

Pada 19 April lalu, Ippo memberitahu anak kedua mereka Ibrahim Afi Nur, 2, kini dalam jagaannya dan tidak pernah menghalang Fara datang bertemu kanak-kanak itu.

IPPO1 - 1

Fara sebelum ini mendakwa tidak dapat bertemu dengan anak keduanya.

Manakala anak sulung mereka iaitu Yusof Zarin Nur, 4, kini menetap bersama Fara.

Pada 12 Mac lalu, Ippo hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Ampang bagi sebutan pertama kes nusyuz yang difailkan terhadap isterinya.

Tuntutan dibuat susulan isterinya itu tidak pulang dan keluar rumah tanpa izin sejak November tahun lalu.

Untuk rekod, Ippo dan Fara mendirikan rumah tangga pada 24 Ogos 2019.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan Youtube

Artikel Lain