suria

[V] “Lindungilah maruah suami” - Ippo Hafiz masih sayang isteri, minta serah bukti ke mahkamah larang jumpa anak

PENYANYI Ippo Hafiz meminta isterinya iaitu Fara Roslan menyerahkan bukti kepada mahkamah kononnya dia menghalang bertemu dengan anak kedua mereka yang ketika ini di bawah jagaannya.

Ippo atau Muhammad Hafiz Yaziz, 34, bagaimanapun menjelaskan kenyataan dikeluarkan Fara di media sosial sebelum ini adalah fitnah.

"Saya menafikan kenyataan Fara. Segala tohmahan, fitnah yang berlegar di laman sosial saya serahkan kepada mahkamah.

"Kalau dia ada bukti, boleh tunjukkan di mahkamah dan bukannya media sosial. Saya bukan jenis yang suka nak bercerita di laman sosial.

553

Ippo memberitahu masih sayangkan Fara dan keluarga kecil mereka.

"Pada saya bila banyak fitnah, lebih baik kita serahkan kepada mahkamah untuk putuskan," katanya kepada mStar.

Ippo menjelaskan perkara itu ketika ditemui pada sebutan kedua kes tuntutan nusyuz yang difailkan terhadap Fara di Mahkamah Tinggi Syariah Ampang, Selangor pada Selasa.

Penyanyi itu memberi respon berkenaan selepas Fara memaklumkan mempunyai bukti panggilan dan mesej dihantar kepada Ippo tidak dibalas.

Fara memberitahu dia tidak berjumpa atau berhubung dengan Ibrahim sejak Februari lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ippo Hafiz dan isteri belum bercerai, hantar notis kepada pihak lempar tohmahan henti keluar kenyataan

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri luah rasa rindu, sindir kenyataan Ippo Hafiz tak halang jumpa anak - "Tipu dosa"

Dalam pada itu, Ippo memberitahu dia juga masih menetap di kediaman sama sekiranya Fara ingin bertemu dengan anak mereka iaitu Ibrahim Afi Nur yang kini berusia dua tahun.

"Saya tidak pernah berpindah cuma kadang kala ada kerja di tempat lain. Buat masa ini saya menikmati masa dengan Ibrahim dan dia gembira bersama saya," katanya.

Walaupun rumah tangga sedang bergolak, besar harapan Ippo untuk menyelamatkan perkahwinan dengan Fara kerana masih sayangkan keluarganya.

"Susah saya nak cakap fasal perkara ini, saya serahkan kepada mahkamah. Tipulah kalau tiada perasaan sayang. Apa boleh saya cakap minta semua doakan yang baik-baik buat kami.

Dia masih isteri saya dan saya menghormati dia, jadi lindungilah maruah suami.

IPPO HAFIZ

PENYANYI & KOMPOSER

"Dia masih isteri saya dan saya menghormati dia, jadi lindungilah maruah suami,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hakim Syarie Afif sofiuddin mengarahkan Fara selaku defendan memfailkan jawapan kepada pembelaan kes nusyuz difailkan Ippo pada prosiding pada 24 Jun depan.

Afif juga menegur kegagalan peguam mewakili Fara yang tidak menghadirkan diri pada prosiding tersebut.

Pada 19 April lalu, Ippo memberitahu anak kedua mereka kini dalam jagaannya dan tidak pernah menghalang Fara datang bertemu kanak-kanak itu.

553 (1)

Ippo meminta Fara menyerahkan bukti di mahkamah berhubung dakwaan dia menghalang isterinya bertemu anak.

Manakala anak sulung mereka iaitu Yusof Zarin Nur, 4, kini menetap bersama Fara.

Pada 12 Mac lalu, Ippo hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Ampang bagi sebutan pertama kes nusyuz yang difailkan terhadap isterinya.

Tuntutan dibuat susulan isterinya itu tidak pulang dan keluar rumah tanpa izin sejak November tahun lalu.

Untuk rekod, Ippo dan Fara mendirikan rumah tangga pada 24 Ogos 2019.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan Youtube

Artikel Lain