suria

Gagal selesai cara baik, kes saman penulis skrip terhadap Amelia Henderson diteruskan di mahkamah

Kes Amelia dan Rehal akan dibawa ke perbicaraan pada Februari tahun hadapan.

KES saman membabitkan penulis skrip drama ‘Sekali Lagi Cinta Kembali’ iaitu Haironizam Mohd Idris dengan pelakon Amelia Henderson diteruskan di mahkamah selepas kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat.

Peguam mewakili Haironizam iaitu Nor Zabetha Muhammad Nor berkata tiada sebarang penyelesaian dicapai antara anak guamnya selaku plaintif dengan Amelia atau Amelia Thripura Henderson, 29, sebagai defendan di hadapan Timbalan Pendaftar, Mazilah Manap di Pusat Mediasi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Selasa.

"Hari ini merupakan mediasi antara dua pihak terlibat, iaitu proses yang dibuat sekiranya ada penyelesaian secara damai tanpa memerlukan perbicaraan.

size NP 1 - 2024-08-06T165810.826

Proses Mediasi Amelia dan Rehal gagal capai kata sepakat.

"Bagaimanapun, usaha ini tidak berjaya selepas dua pihak tidak mencapai kata sepakat, salah satunya membabitkan tawaran kes," katanya kepada pemberita.

Susulan itu, kes berkenaan akan dibicarakan pada 6 dan 7 Februari tahun depan.

Mahkamah turut menetapkan pengurusan kes secara atas talian pada 4 Oktober depan bagi mengemaskini pemfailan dokumen pra-bicara.

Sementara itu, peguam mewakili Amelia iaitu Mansheel Kaur memberitahu proses penyelesaian gagal kerana tiada persefahaman daripada kedua-dua pihak.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Amelia Henderson enggan minta maaf seperti dituntut A. Aida

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah Tinggi ketepi ganti rugi RM200,000... Amelia perlu bayar RM10,000 berserta faedah kepada A. Aida

"Kami telah bersedia untuk perbicaraan dan senarai saksi yang akan memberi keterangan dalam kes saman ini, masih dalam perbincangan,” katanya selepas prosiding kes mediasi itu.

Dalam saman yang difailkan pada 20 September tahun lalu, Haironizam yang lebih dikenali atas nama pena Rehal Nuharis mendakwa Amelia memuat naik siaran video secara langsung melalui akaun Instagram miliknya pada 25 Jun 2022, dengan memberi kenyataan menjatuhkan reputasi serta memprejudiskan nama baik plaintif berhubung drama ‘Sekali Lagi Cinta’.

Plaintif mendakwa video tersebut telah memberi gambaran negatif tentang penulisan skrip plaintif dalam drama tersebut yang menyokong keganasan rumah tangga selain komen pihak ketiga terhadap kenyataan yang dibuat defendan itu mendatangkan kecaman, kebencian serta kemarahan terhadap plaintif.

Sehubungan itu, plaintif antaranya memohon satu injuksi tetap untuk menghalang defendan, sama ada melalui dirinya sendiri atau wakilnya menyebarkan atau menerbitkan kenyataan fitnah tersebut secara lisan, media cetak atau internet selain menuntut ganti rugi am, khas dan teruk.

size NP 1 - 2024-08-06T165942.857

Kes perbicaraan Amelia dan Rehal pada Februari tahun hadapan.

Pada 7 April tahun lalu, Mahkamah Sesyen Sivil di sini memerintahkan Amelia membayar lebih RM200,000 kepada syarikat produksi A Aida Production Sdn Bhd berhubung isu pelanggaran kontrak drama 'Sekali Lagi Cinta Kembali'.

Bagaimanapun pada 27 Oktober tahun sama, Amelia berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi, bagi mengetepikan keputusan itu dan hanya perlu membayar ganti rugi nominal sebanyak RM10,000 dalam tempoh 14 hari.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain