suria

Hang Jebat lega kebenaran akhirnya terbukti, hasil jual tanah digunakan untuk arwah Jins Shamsuddin

Hang Jebat buktikan tomahan masyarakat tidak benar.

ANAK kepada seniman Tan Sri Jins Shamsuddin iaitu Putera Hang Jebat akhirnya mampu menarik nafas lega selepas Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan menolak kes saman sivil yang difailkan oleh dua abangnya, Jeffrey dan Putera Hang Tuah sejak Januari 2019.

Kata Hang Jebat, 37, selepas lima tahun akhirnya dia mampu membuktikan kepada masyarakat dakwaan dia tamakkan harta arwah bapanya adalah tidak benar.

“Memang sangat-sangat lega, selama lima tahun ini kami menerima persepsi buruk daripada masyarakat.

Copy of Untitled (68)

Jebat hadir ke sidang media bersama ibunya.

“Kebenaran akhirnya terbukti pada pihak saya,” katanya kepada mStar.

Hang Jebat berkongsi perkara itu semasa sidang media penjelasan kes harta Allahyarham Jins Shamsuddin di Restoran Haslam, Kuala Lumpur pada petang Selasa.

Bercakap mengenai cacian diterima, Hang Jebat berkata dia tidak mampu menahan rasa sakit dalam hati apabila ibunya iaitu Puan Sri Halijah Abdullah ditohmah dengan pelbagai tuduhan negatif.

ARTIKEL BERKAITAN: Hang Tuah sangkal dakwaan Hang Jebat fail saman sebab dendam, mahu harta Jins Shamsuddin dibahagi secara faraid

ARTIKEL BERKAITAN: Dituduh suka pinjam duit, ini penjelasan anak Jins Shamsuddin... Tengah sibuk buat olahan skrip ‘Pasir Salak’

Malah, Hang Jebat menjelaskan hasil duit daripada penjualan tanah pada tahun 2015 itu digunakan untuk keselesaan bapanya yang sudah pencen.

“Tuduhan mereka menjejaskan keluarga saya terutama ibu saya, kami dihina dan dicaci disebabkan isu ini. Susah saya nak terima perkara itu.

“Saya nak jelaskan, duit hasil tanah dijual sebelum ini segalanya digunakan untuk arwah ayah seperti bawa dia bercuti dan bil perubatan untuk keselesaan dia selepas berpencen.

“Bila dituduh macam itu hati saya memang sangat-sangat sakit. Tapi saya ingat pesan ayah supaya tak bercerita pada umum, biarpun keluarga dihina kita simpan. Sampailah terbukti di mahkamah baru saya uar-uarkan,” jelasnya.

Kebenaran akhirnya terbukti pada pihak saya.

PUTERA HANG JEBAT

ANAK KEPADA TAN SRI JINS SHAMSUDDIN

Pada 5 Januari tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak tuntutan plaintif iaitu Jeffry dan Tuah dengan kos sebanyak RM8,000 perlu dibayar setiap seorang kepada tiga defendan.

Kemudian pada 13 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan dengan panel tiga hakim juga menolak rayuan pihak plaintif tersebut dan kos sebanyak RM10,000 dibayar kepada setiap seorang kepada tiga responden.

Turut dinafikan di dalam sidang media tersebut tentang tuduhan kononnya Hang Jebat memalsukan tandatangan Allahyarham dan melakukan penipuan bagi menjual hartanah yang dipertikaikan Jeffrey dan Tuah.

Peguam mewakili Hang Jebat iaitu Amirfarid Nawawi menegaskan hartanah tersebut dijual ketika arwah masih hidup, oleh itu ia tidak tertakluk kepada harta pusaka dan faraid.

Copy of Untitled (66)

Hang Jebat merupakan anak Allahyarham menerusi perkahwinan ketiga.

Untuk rekod, Allahyarham Jins menghembuskan nafas terakhir pada 1 Mac 2017 di sebuah klinik di Taman Melawati akibat sesak nafas selepas tercekik kuih di kediamannya.

Jeffrey merupakan anak sulung hasil perkahwinan arwah dengan bintang legenda, Allahyarham Rahmah Rahmat.

Manakala, Hang Tuah pula anak kedua arwah menerusi perkahwinan dengan Jamilah Shukor pada 1973.

Menerusi perkahwinan dengan Puan Sri Halijah Allahyarham dikurniakan dua cahaya mata iaitu Putera Hang Jebat dan Putera Hang Nedim.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain