BEKAS isteri pengarah dan pelakon Syamsul Yusof iaitu Ira Kazar enggan memberikan sebarang komen berhubung penceraiannya pada Khamis. Ira atau Faghira Fatini Kazaruddin, 29, bagaimanapun menzahirkan rasa syukur kerana pengesahan lafaz taklik yang difailkan sebelum ini sudah selesai. “Tiada apa. Alhamdulillah, selesai,” katanya kepada mStar. Ira dan Syamsul kelihatan tenang ketika tiba di mahkamah. Ira memaklumkan perkara itu ketika ditemui selepas prosiding pengesahan lafaz cerai taklik di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor pada Khamis. Ira kemudiannya meminta maaf kepada media dan berlalu pergi bersama peguam dan ahli keluarga. “Minta maaf ya. Terima kasih,” katanya. ARTIKEL BERKAITAN: Syamsul Yusof lega urusan mahkamah selesai, enggan kongsi sebab cerai Ira Kazar ARTIKEL BERKAITAN: Wujud pelanggaran taklik sebanyak 5 kali, Syamsul dan Ira Kazar sah cerai talak satu Sementara itu, peguam mewakili Ira, Mohammad Fadhil Abdul Razak berkata, anak guamnya di dalam keadaan bersedia menerima apa sahaja keputusan mahkamah. “Sejak awal saya minta dia bersedia, jadi apa yang berlaku hari ini sudah jatuh (talak). “Soal emosi dia, saya percaya kita perlu hormati dan saya sudah pesan padanya sejak awal lagi untuk bersedia,” katanya. Pada pagi Khamis, Hakim Syarie Mohd Faizal Habib mengesahkan wujud pelanggaran taklik sebanyak lima kali oleh Ira sejak 14 Ogos lalu sehingga terjatuhnya talak. Ira tidak mahu mengulas lanjut tentang kes cerai. Untuk rekod, Syamsul dan Ira mendirikan rumah tangga pada 6 Januari tahun lalu di Selatan Thailand. Perkara itu disahkan oleh Syamsul menerusi sebuah video yang dimuat naik dalam Instagram pada Januari tahun lalu. Syamsul juga sebelum ini pernah berkahwin dengan Puteri Sarah pada 8 Mac 2014 dan bercerai pada 14 Jun tahun lalu. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 7, dan Sumayyah, 5 tahun. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!