PASANGAN pelakon Farid Kamil dan Diana Danielle hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur bagi sebutan pertama prosiding perceraian pada Isnin. Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 43, yang tiba sekitar pukul 9.40 pagi itu menyifatkan hari ini merupakan hari terbaik buatnya. Bagaimanapun aktor tersebut tidak memperincikan maksud tersebut dan hanya memberikan senyuman semasa diajukan soalan berkenaan. Farid menyifatkan hari ini merupakan hari terbaik buatnya. "Alhamdulillah, saya bersyukur sangat hari ini merupakan hari yang paling terbaik," katanya kepada mStar. Farid hadir ke mahkamah bersama peguamnya iaitu Fakhrul Azman Abu Hassan. Sebelum itu, Diana yang hadir pada pukul 9.30 pagi pula enggan mengulas lebih lanjut mengenai proses cerai namun meluahkan rasa syukur berada dalam keadaan baik. ARTIKEL BERKAITAN: [V] Diana Danielle reda terima keputusan cerai, dekatkan diri dengan Allah... “Waktu sujud itulah saya luah” ARTIKEL BERKAITAN: [V] Tiada faedah bincang kes cerai, Diana Danielle kekal pendirian enggan ulas isu rumah tangga dengan Farid Kamil "Tak ada harapan apa-apa. Alhamdulillah (sihat)," katanya. Sementara itu, peguam mewakili Diana iaitu Datuk Akberdin Abdul Kadir berkata keputusan pada hari ini bergantung kepada reaksi pihak defendan iaitu Farid. "Hari ini diteruskan dengan pemohonan cerai, jadi kita akan tunggu reaksi daripada defenda (Farid) sama ada dia bersetuju atau tidak," ujarnya. Ketika ditanya apa tindakan seterusnya sekiranya Farid tidak bersetuju untuk melafazkan cerai, Akberdin memberitahu segala proses akan mengikut prosedur selanjutnya. "Kita akan ikut proses selanjutnya... JKP dan Hakam, jadi kita tunggu dulu," jelasnya Pada 20 November lalu, peguam mewakili Diana Danielle iaitu Datuk Akberdin Abdul Kadir memaklumkan mahkamah mengesahkan status aktres itu dan aktor Farid Kamil masih suami isteri setelah kembali rujuk pada 31 Ogos tahun lalu. Diana tidak meletakkan sebarang harapan pada sebutan pertama prosiding perceraian mereka. Ia susulan Akberdin memaklumkan perakuan rujuk perlu dibawa ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan untuk permohonan perceraian yang difailkan pada 4 November lalu. Untuk rekod, pada 10 Ogos tahun lalu, Farid dan Diana bercerai talak satu namun mereka memilih untuk kembali rujuk selepas 21 hari berpisah. Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora yang kini berusia 9 tahun. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!