PELAKON Diana Danielle menganggap tindakan suaminya Farid Kamil tidak bersetuju melafazkan cerai pada Isnin sebagai sesuatu yang memualkan. Malah Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 33, juga menyifatkan Farid tidak berpijak di bumi yang nyata kerana rumah tangga mereka tidak lagi boleh diselamatkan. Dakwa Diana, selepas memberi peluang kedua kepada Farid, suaminya itu masih bersikap sama dan tiada perubahan yang dilakukan. "Tindakan dia (Farid) hari ini amat memualkan dan saya rasa dia tidak berpijak ke bumi yang nyata. Dia berangan kerana tidak ada apa lagi yang kita boleh selamatkan. Diana memberitahu peluang kedua yang diberikan disia-siakan oleh Farid. "Selama setahun kita rujuk, bukankah itu peluang untuk kita berdamai dan cuba perbaiki keadaan? Tetapi dia gagal. "Banyak peluang yang awak boleh dapat, tetapi bagi saya dia buang masa. Pijaklah di bumi yang nyata... lepaskan saya, jangan zalimi saya,” katanya kepada mStar. Diana berkongsi luahan hati itu selepas sebutan pertama prosiding cerai yang difailkannya terhadap Farid di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Isnin. Tambah aktres tersebut, disebabkan Farid mengambil pendirian untuk memanjangkan kes, dia juga akan membuat satu tuntutan nafkah terhadap suaminya itu. ARTIKEL BERKAITAN: Hadir sebutan kes cerai... Diana Danielle tak letak harapan, Farid pula anggap hari terbaik ARTIKEL BERKAITAN: [V] Diana Danielle reda terima keputusan cerai, dekatkan diri dengan Allah... “Waktu sujud itulah saya luah” "Tindakan seterusnya adalah saya akan tuntut nafkah yang sebelum ini tertunggak. Kalau dia lepaskan saya, saya tarik semula kes itu," ujarnya. Tegas Diana, meskipun kes itu dipanjangkan dia akan tetap dengan keputusan untuk bercerai. "Saya masih meneruskan kehidupan seperti biasa. Saya tetap akan teruskan penceraian walaupun panjang. Saya cuma mahu bercerai," ujarnya. Terdahulu, peguam syarie yang mewakili Diana iaitu Datuk Akberdin Abdul Kadir memaklumkan kes pasangan itu disambung ke peringkat Jawatankuasa Pendamai (JKP) memandangkan Farid enggan melafazkan cerai. Sebutan semula kes tersebut akan bersambung pada 24 Mac depan. Farid enggan menceraikan Diana. Pada 20 November lalu, Akberdin memaklumkan mahkamah mengesahkan status pasangan itu masih suami isteri setelah kembali rujuk pada 31 Ogos tahun lalu. Ia susulan Akberdin memaklumkan perakuan rujuk perlu dibawa ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan untuk permohonan perceraian yang difailkan pada 4 November lalu. Untuk rekod, pada 10 Ogos tahun lalu, Farid dan Diana bercerai talak satu namun mereka memilih untuk kembali rujuk selepas 21 hari berpisah. Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora yang kini berusia 9 tahun. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube