suria

SPRM tak beku akaun bank, Ziana Zain dan Jalaluddin Hassan selesai rakam keterangan

Ziana dan Jalaluddin selesai beri keterangan pada pihak SPRM.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan membekukan akaun bank milik penyanyi Ziana Zain dan pelakon Datuk Jalaluddin Hassan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki menjelaskan kehadiran kedua-dua selebriti itu bagi memberi keterangan dan melengkapkan siasatan berhubung kes sindiket pengubahan wang haram melibatkan sebuah syarikat pengurusan kewangan yang tumpas dalam Ops Sky baru-baru ini.

"Saya kena jelaskan ia tidak ada kena mengena pun dengan akaun mereka.

size NP 1 (37)

Azam nyatakan akaun bank Ziana dan Jalaluddin tidak dibekukan.

"Kita tidak akan bekukan akaun mereka,” katanya kepada pemberita.

Azam mengulas perkara itu menerusi sidang media yang diadakan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada Khamis.

Dalam pada itu, jumlah bayaran diterima oleh selebriti berkenaan sebagai duta bukan isu utama sehingga menyebabkan kedua-dua selebriti itu dipanggil.

Namun kata Azam, jika ia membabitkan jumlah pelaburan besar untuk membayar Ziana dan Jalaluddin maka ada kemungkinan ia boleh menimbulkan kemusykilan.

ARTIKEL BERKAITAN: Jalaluddin Hassan dan Ziana Zain muncul di SPRM, guna jalan ‘belakang’ elak bertembung media

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Sangkal terima bayaran RM400,000 sebagai duta, Jalaluddin Hassan sedia beri kerjasama jika dipanggil SPRM

Sementara itu pihak SPRM selesai mengambil keterangan dua selebriti tersebut pada petang Khamis.

Kenderaan milik Ziana atau Siti Roziana Zain, 57, dilihat meninggalkan bangunan SPRM di Putrajaya kira-kira pukul 3 petang.

Menurut sumber, keterangan ketiga-tiga mereka selesai dirakamkan pada jam 2.45 petang.

“Ziana merupakan orang terakhir yang meninggalkan kawasan ini. Mereka yang lain sudah meninggalkan kawasan sebelum dia,” kata sumber.

Saya kena jelaskan ia tidak ada kena mengena pun dengan akaun mereka.

TAN SRI AZAM BAKI

KETUA PESURUHJAYA SPRM

Pada pagi Khamis, kedua-dua selebriti berkenaan tiba di ibu pejabat SPRM, Putrajaya sekitar pukul 9.30 pagi.

Mereka dipercayai menggunakan jalan ‘belakang’ bagi mengelak bertembung dengan pihak media.

Pada 2 Februari lalu, media melaporkan pihak SPRM akan memanggil beberapa selebriti namun tidak mendedahkan sebarang nama.

Siasatan berkenaan dilakukan susulan penahanan sekurang-kurangnya 27 individu termasuk lapan pengarah syarikat dan 18 pegawai bank oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) dalam Ops Sky hasil kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM).

size NP 1 (41)

Ziana dan Jalaluddin merupakan duta bagi sebuah syarikat pengurusan kewangan.

Difahamkan kesemua selebriti terbabit dilaporkan menerima bayaran sekitar RM150,000 hingga RM400,000 daripada syarikat terbabit selepas mereka bertindak sebagai duta kepada syarikat itu.

Lebih mengejutkan apabila hasil siasatan SPRM mendapati sindiket itu turut melabur sejumlah wang yang besar bagi penciptaan lagu membabitkan penyanyi ternama.

SPRM sebelum ini berjaya menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan bersama pegawai bank di beberapa institusi kewangan.

Dalam operasi berkenaan, sebanyak 98 akaun syarikat dan individu bernilai lebih RM22 juta dibekukan SPRM berhubung sindiket pengubahan wang haram yang dipercayai didalangi syarikat perunding kewangan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain