suria

Rozita Che Wan belum langsai pinjaman Mara, masih ada hutang RM443,392

PELAKON Rozita Che Wan masih belum melunaskan baki hutang sebanyak RM443,392 kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Perkara itu disahkan sendiri Pengerusi Mara iaitu Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menafikan pelakon itu sudah melangsaikan semua pinjaman perniagaan hampir RM1 juta seperti didakwa sebelum ini.

Asyraf berkata, Rozita sebaliknya hanya membuat pembayaran sebanyak RM689,307.59 dengan kira-kira RM150,000 daripadanya dibayar secara tunai.

Asyraf nafikan dakwaan kononnya Rozita sudah selesai bayar pinjaman Mara.

Manakala bayaran selebihnya dilakukan secara transaksi menerusi dalam talian terus kepada akaun Mara.

"Rozita belum bayar habis hutangnya dengan Mara dengan baki tertunggak berjumlah RM443,392 yang perlu dilunaskan sepenuhnya sebelum 31 Mac ini.

"Jadi, dakwaan kononnya pelakon itu sudah melangsaikan semua hutangnya dengan Mara adalah tidak benar.

"Jika dikira, baki hutang Rozita itu jika dibayar boleh menampung hampir 50 pelajar yang belajar di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM)," katanya seperti dilaporkan Berita Harian pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Ramai mula menjauhi Rozita Che Wan, hutang Mara RM1 juta sudah langsai

ARTIKEL BERKAITAN: Rozita Che Wan sudah bayar setengah juta, baki hutang Mara perlu lunas sebelum Mac 2025

Dalam pada itu, Asyraf menjelaskan pembayaran dibuat Rozita sebanyak RM550,000 sebelum ini bertujuan menangguhkan tindakan pelaksanaan penghakiman yang diambil pihak Mara. 

Asyraf tetap teguh dengan pendiriannya yang tidak akan berkompromi dengan sesiapa dalam usaha mengembalikan duit rakyat.

Malah menegaskan pendirian Mara yang memberi tempoh sehingga penghujung Mac ini bagi melunaskan bayaran tertunggak atau berdepan tindakan tegas sekiranya gagal berbuat demikian.

Duit rakyat yang boleh digunakan bagi membantu pelajar dan usahawan memerlukan.

DATUK DR ASYRAF WAJDI DASUKI

PENGERUSI MARA

"Saya tegas dan tidak berkompromi dengan sesiapa juga yang berhutang dengan Mara.

"Ini termasuk artis atau golongan ternama supaya membayar balik pinjaman mereka kerana ia duit rakyat yang boleh digunakan bagi membantu pelajar dan usahawan lain yang memerlukan," katanya.

Pada Februari lalu, Rozita, 52, memaklumkan dia sudah melangsaikan tunggakan hampir RM1 juta kepada pihak Mara.

Rozita sebelum ini dedah dirinya sudah bebas daripada hutang Mara.

Sebelum ini, nama Rozita panas apabila dia dilaporkan gagal membayar hutang hampir RM1 juta kepada Mara.

Susulan kegagalan membayar hutang, banglo Rozita di Petaling Jaya, Selangor diserbu pihak Mara pada 10 Disember tahun lalu.

Tindakan itu dipercayai dilakukan bagi membolehkan pihak Mara menilai barang-barang dalam banglo terbabit bagi tujuan penyitaan.

 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsAppTelegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain