PENYANYI Datuk Nora Ariffin memberi bayangan memfailkan cerai terhadap suaminya iaitu Dr Rushdi Ramli selepas bekongsi foto berada di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat.
Nora atau Wan Norafizah Ariffin, 53, bagaimanapun berkata, tindakan itu bukan dibuat atas kerelaannya tetapi sebagai menunaikan hajat isteri pertama iaitu Rose Aliza Sutrisno yang tidak mahu berpoligami.
"Saya buat permohonan ini bukan di atas kehendak hati saya kerana saya tahu berdosa tapi kerana ingin menunaikan hajat isteri pertama dari dulu lagi yang mahu kembali monogami.
"Ia juga atas desakan anak (saya ada bukti) supaya kami berpisah. Buat ustazah, moga Ramadan kali ini doa ustazah akan termakbul," katanya.
Perkongsian yang dimuat naik di Instagram miliknya.
Nora berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya pada petang Rabu.
Dalam perkongsian itu juga, Nora turut berkongsi perbualan mesej bersama isteri pertama yang memberitahu suami mereka akan kembali bermonogami dan meminta penyanyi berkenaan untuk bersedia.
Kata Rose lagi, di bulan Ramadan ini dia berdoa agar Nora mendapat pengganti lebih baik.
"Memang ustaz (Rushdi) akan Kembali monogami. Harap bersedia ya.
ARTIKEL BERKAITAN: Nora akhirnya dedah kemelut dengan keluarga madu, tuntut 4 perkara daripada anak tiri
ARTIKEL BERKAITAN: “Dia isteri yang baik” - Kahwin atas kehendak sendiri, suami sedih Nora dipanggil penyondol
"Semoga awak akan berjumpa dengan seseorang yang lebih baik. Itu doa saya sepanjang Ramadan ini," tulis mesej tersebut.
Penyanyi lagu Di Persimpangan Delima itu turut berharap agar suaminya menuruti segala permintaan untuk penceraian kali kedua ini.
"Harap ustaz pun akan ikut sahaja sebagai mana lafaz talak pertama dulu," katanya.
Usaha mStar mendapatkan kenyataan lanjut daripada Nora bagaimanapun tidak berhasil apabila panggilan dibuat tidak dijawab.
Nora turut berkongsi perbualan mesej bersama bekas isteri.
Pada 12 Ogos tahun lalu, Rushdi menceraikan Nora dengan talak satu menerusi rakaman video berdurasi 52 saat selepas dua tahun berkahwin.
Malah selepas video berkenaan dikecam ramai, Nora sempat membela bekas suaminya dan memaklumkan itu bukanlah atas kehendak suami sebaliknya mengikut arahan seseorang.
Selepas sebulan mengumumkan penceraian itu, penyanyi berkenaan memaklumkan dia dan suami sudah kembali rujuk.
Nora sebelum ini berkongsi video dia diceraikan oleh Rushdi (kiri).
Pada 23 Februari lalu, Nora membuat pendedahan di Instagram memberitahu sudah lebih 10 kali dia meminta untuk diceraikan atas permintaan isteri pertama dan anak tirinya.
Malah penyanyi lagu Desa Tercinta ini mendakwa usaha untuk berbaik dan berdamai dengan madu dan ahli keluarga tidak berhasil walaupun diuruskan oleh Rushdi sendiri.
Rushdi dalam satu kenyataan di Facebook bagaimanapun memberitahu dia berasa sedih apabila ada netizen yang menggelarkan Nora sebagai perosak rumah tangga dan penyondol.
Kata Rushdi, selepas kematian suami Nora iaitu Johan Nawawi, dia berniat mahu mengahwini Nora dan membimbing, mengajar ilmu serta menjaga anak-anak mereka.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!