suria

Gandingan Jude Law & Forest Whitaker Melengkapkan "Repo Men"

Gandingan Jude Law (kiri) dan Forest Whitaker tampak serasi dan menjadi dalam Repo Men.
Gandingan Jude Law (kiri) dan Forest Whitaker tampak serasi dan menjadi dalam Repo Men.
Gandingan Jude Law (kiri) dan Forest Whitaker tampak serasi dan menjadi dalam Repo Men.

GANDINGAN dua bintang antarabangsa yang berlainan latar belakang dan pesona iaitu Jude Law dan Forest Whitaker sememangnya berkesan dalam mencorak persembahan filem Repo Men berhasil menjadi sebuah filem yang menarik.

Aktor British Jude Law yang terkenal dengan paras wajah yang kacak bijak memanfaatkan kurniaan itu di dalam filem kali ini. Kelibat dan gerak-geri Law yang menggalas watak pegawai penebus semula organ manusia atau 'repo men' dalam organisasi The Union diterjemahkan dengan baik.

Memainkan watak seorang pegawai atau penguatkuasa, watak Remy bukanlah seorang pegawai yang sasa atau tipikal seperti yang anda bayangkan. Cukup dengan gaya bersahaja yang diadun dengan mimik muka dan gestur menarik, Law berjaya mempamerkan sisi berbeza dalam lakonannya.

Ternyata komitmen Law yang terlibat secara langsung sejak daripada peringkat pra-produksi hinggalah ke lokasi penggambaran mencernakan hasil yang bukan sahaja berbaloi, bahkan mengasyikkan dan layak dipuji.

Buat anda yang meminati aktor yang sinonim dengan imej kasanova dan penggoda ini, persembahan Law dalam Repo Men juga masih tidak lari daripada identiti signaturnya itu, cuma kali ini diperkayakan lagi dengan saduran lakonan yang memberangsangkan dan segar.

Sasa dan bagak di samping Law adalah aktor Forest Whitaker yang tidak perlu diperkenalkan lagi kehebatannya. Bintang berkulit hitam yang juga pemenang anugerah Oscar ini memang versatil.

Kemunculan Whitaker di depan skrin memang cukup kuat dan memikat. Kali ini, Whitaker yang menggalas watak sebagai Jake, rakan sekerja juga teman baik Remy, tampil dengan lakonan yang terus unggul.

Watak Jake dilihat begitu sebati dengan Whitaker. Malah, aksi dan bahasa tubuh Whitaker, terutamanya ketika babak-babak pergaduhan dan tembak-menembak menjadikan aktor filem The Last King of Scotland ini tampak gah, seksi dan mengikat tumpuan.

Apa yang pasti, gandingan Law dan Whitaker memang serasi, memikat dan menghidupkan penceritaan filem yang kemas disadur elemen 'komedi gelap' dan aksi ini.

Secara realitinya, kupasan subjek yang berkisar kepada bisnes organ manusia dan sistem pengutipan hutang oleh penguatkuasa yang digelar 'repo men' terhadap pengguna yang gagal menjelaskan bayaran ansuran bagi organ yang dibeli itu seakan asing bagi logik akal dan tafsiran kita.

Namun, pengarah Miguel Sapochnik menjadikan perjalanan filem ini ringkas, pantas, mudah difahami dan menghiburkan. Justeru, kebijaksanaan dan kecekapan Sapochnik mengolah dan menggarap filem yang punya tema berat dan mengelirukan ini wajar dipuji.

Selain kolaborasi Law-Whitaker, filem adaptasi daripada novel Eric Garcia iaitu The Repossession Mambo ini turut diperkayakan dengan lakonan meyakinkan daripada Liev Schreiber (Salt, X-Men Origins: Wolverine), Alice Braga (Predators, I Am Legend) dan RZA (American Gangster).

Secara keseluruhannya, filem berdurasi 1 jam 52 minit ini boleh dikategorikan sebagai karya yang menghiburkan, tanpa mengetepikan mesej yang baik mengenai hubungan persahabatan dan kemanusiaan.

Malah pendedahan mengenai sikap tamak yang didominasi oleh organisasi besar seperti The Union sehingga sanggup memandang remeh akan nilai dan harga nyawa manusia semata-mata kerana wang adalah paparan yang baik mengenai realiti kehidupan hari ini dan disampaikan dengan cara yang bijak, sinis dan berkesan.

Apakah selepas menonton filem ini, terdetik di fikiran kita untuk berkompromi dan menerima kewujudan sistem jual beli organ di masa depan dan seterusnya bersedia untuk diburu oleh pegawai repo seandainya bayaran ansuran untuk organ yang dibeli itu gagal dilunaskan tepat pada masanya?

Mungkin masih jauh daripada realiti, tetapi paparan Repo Men adalah sebuah hiburan yang segar dan menarik, terutamanya buat yang meminati filem aksi pantas, berbaur futuristik serta mencabar minda.

Jika anda peminat filem-filem seperti Pulp Fiction (lakonan John Travolta), Fight Club (lakonan Brad Pitt) dan Shoot 'Em Up (lakonan Clive Owen), maka sajian Repo Men pasti mengujakan anda.

Ringkasnya, filem Repo Men berkisar tentang Remy (Jude Law), seorang pegawai penebus semula organ yang bertugas di sebuah syarikat penjualan organ palsu kepada pengguna iaitu The Union. Ekoran masalah jantung yang dideritainya, Remy terpaksa menggunakan organ palsu yang dibeli secara ansuran daripada syarikat itu.

Namun, disebabkan kegagalannya untuk melunaskan bayaran ansuran tersebut, Remy yang selama ini mengejar dan merampas semula organ palsu daripada pembeli yang gagal menjelaskan bayaran akhirnya menjadi mangsa pemburuan syarikat The Union sendiri.

Lebih memburukkan keadaan, Remy diburu oleh rakan baik juga teman sekerjanya iaitu Jake (Forest Whitaker) yang ingin mendapatkan semula organ palsu di dalam tubuhnya. Dalam usaha untuk menyelamatkan diri, Remy bertembung dengan Beth (Alice Braga) yang turut berhadapan situasi yang sama.

Filem Repo Men ditayangkan di pawagam bermula 19 Ogos 2010.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain