Aktres Drew Barrymore di samping aktor Justin Long (kanan) ketika menghadiri tayangan perdana filem Going The Distance di Hollywood, California, minggu lalu. - Foto REUTERSPENGALAMAN menonton filem terbaru lakonan aktres Drew Barrymore iaitu Going The Distance, baru-baru ini lantas menimbulkan persoalan di minda.Mengapakah tiap kali filem komedi romantik Hollywood menjengah pawagam, ia pasti memancing perhatian kita? Jika bersandarkan keunikan atau kekuatan jalan cerita semata-mata, mungkin fakta itu kurang tepat. Ini kerana, rata-rata filem komedi romantik yang dihasilkan sekitar lima hingga enam tahun kebelakangan ini tidak banyak yang segar atau benar-benar unik.Malah, pada pengamatan, plot filem Going The Distance dilihat cukup ringkas dan ringan serta tidak banyak berbeza dengan filem-filem genre itu yang pernah disajikan oleh para pembikin Hollywood sebelum ini.Jadi, di manakah kekuatan sebenar filem ini yang dirasakan cukup membuai hingga ke akhirnya. Sebenarnya, formula tarikan itu terletak pada kaedah penyampaian dan garapannya. Justeru itu, biar seribu satu judul filem komedi romantik bersusun di pawagam, setiap satunya pasti mampu menarik perhatian kita.Faktor serupa turut dikenalpasti dalam Going The Distance. Jika diteliti sinopsisnya filem arahan Nanette Burstein ini hanyalah sebuah filem cinta yang berkisar kepada hubungan jarak jauh yang cuba dijalani oleh Erin (Drew Barrymore) dan Garrett (Justin Long).Menariknya, persembahan filem ini dirasakan cukup bersahaja sehingga mampu membuai anda. Sentuhan pengarahnya yang cukup berpengalaman dengan dunia dokumentari ternyata berjaya membawa sentuhan yang segar dan realistik seakan menonton sebuah dokumentari cinta.Selain dihiasi dengan pemandangan yang indah dan mengasyikkan di antara dua kota besar ini, Going The Distance juga dibikin dengan paparan yang selamba, seolah begitu dekat dengan kita yang menontonnya.Gabungan dua bintang utama, Drew Barrymore dan Justin Long sebagai pasangan kekasih cukup serasi bersama. Barrymore yang terkenal dengan air muka dan lakonan yang gonjeng dan selamba memang memikat sebagai Erin.Kekuatan watak Erin itu diserikan lagi dengan kehadiran Long di sisi sebagai Garrett. Malah, pada kebanyakan waktu lakonan Barrymore yang gonjeng dan selamba itu seakan 'membunuh' dan menenggelamkan Long di depan skrin. Namun, mereka tetap selamba dan menyuntik kemanisan pada penceritaan filem ini.Selain Barrymore, kemunculan aktres Christina Applegate yang menggalas watak Corrine (juga kakak kandung kepada Erin) memang meninggalkan impak. Applegate bukan sahaja menghiburkan dengan telatah lucunya, bahkan lakonannya dalam babak beremosi juga berkesan.Sebuah babak perbualan antara Corrine dan Erin yang mempamerkan keprihatinan seorang kakak terhadap kehidupan dan masa depan adiknya memang berkesan dan menyentuh emosi.Namun di sebalik semua kemanisan itu, Going The Distance juga dicemari elemen berbaur seksual yang menebal dalam kebanyakan babak.Selain penggunaan perkataan dan istilah yang lucah dan punya makna tersirat, paparan beberapa babak yang kontroversi juga bersepah dalam filem ini.Malah, disebabkan oleh polisi 'keterbukaan' yang dijunjung baik pembikin mahupun penonton Barat kononnya, babak-babak seperti melakukan hubungan seksual, panggilan seks dan pelbagai lagi isu seksual seakan menjadi perkara remeh dan bahan gurauan. Justeru, tidak hairanlah ia diklasifikasikan sebagai filem 18+.Apa pun, masih tidak keterlaluan untuk mengangkat karya ini sebagai sebuah filem cinta yang mengasyikkan.Ungkapan dialog, sisi lakonan, sinematografi serta peralihan babak yang menarik menjadikan filem ini sebuah karya yang tidak harus dilepaskan oleh peminat genre ini.Ringkasnya, filem berdurasi 1 jam 43 minit ini memaparkan liku-liku yang harus dihadapi oleh Erin di San Fransisco dan Garrett di New York dalam membina hubungan cinta jarak jauh mereka.Di San Fransisco, Erin yang terperangkap dalam kerinduannya terhadap Garrett turut berdepan dilema mengenai kesangsian kakaknya Corinne akan hubungan mereka serta tawaran kerja yang sukar untuk dilepaskan.Manakala, Garrett yang bekerja di sebuah syarikat muzik di New York turut berdepan dilema cinta jarak jauh.Hubungan Garreth juga diragui oleh dua teman baiknya Dan (Charlie Day) dan Box (Jason Sudeikis) yang ingin melihat sejauh mana hubungan Garrett dan Erin mampu bertahan dengan jarak jauh sebegitu.Filem Going The Distance ditayangkan di pawagam bermula 2 September 2010.