Para pelakon filem 4 Madu bersama produser dan pengarah A. Razak Mohaideen (tengah, berbaju coklat) pada sesi pra-tonton filem itu, baru-baru ini.BERSEMPENA Aidilfitri ini, kemunculan dua filem komedi oleh ilmuwan filem iaitu Prof Madya A. Razak Mohaideen (4 Madu) dan Dr Hatta Azad Khan (Senario Asam Garam) pastinya menjadi hidangan yang dinanti-nantikan oleh si kaki wayang.Baik 4 Madu mahupun Senario Asam Garam, masing-masing punya tarikan tersendiri. Jika 4 Madu mempertaruhkan gelagat kehidupan bermadu, Senario Asam Garam pula terus tegar membariskan jenaka kumpulan Senario untuk sekian kalinya. Sentuhan A. Razak lebih matang dalam 4 MaduEntah mengapa hidangan terbaru pengarah A. Razak Mohaideen ini dirasakan agak berbeza, menghiburkan dan lebih matang daripada naskhah-naskhah komedinya terdahulu.Masih tidak banyak berganjak dengan resipi klisenya iaitu adunan lawak ringan, namun 4 Madu seakan lebih memikat dengan humor dan ragam kehidupan bermadu.Memang tidak dinafikan mungkin ramai yang jelek dengan gaya komedi A. Razak tetapi rencah hiburannya kali ini agak berbeza, sekurang-kurangnya jauh lebih bermutu daripada Sifu dan Tongga dan 2 Hati 1 Jiwa.Pada dasarnya, penceritaan dan garapan A. Razak menerusi skrip oleh A. Shukor Mohaideen dan Shaheed Salim bersifat lebih matang dan memikat.Mungkin isu lelaki yang mengahwini lebih daripada seorang wanita bukan sesuatu yang segar. Bahkan, sejak dari zaman filem P. Ramlee lagi sudah dipaparkan isu sebegini.Namun, yang menariknya tentang 4 Madu adalah sulaman komedi yang diterjemahkan dalam keadaan huru-hara dan slapstik dalam menyampaikan isu itu memang mencuit hati.Menyentuh soal lakonan, Saiful Apek yang memainkan watak dua saudara kembar iaitu Azlan dan Azrul diakui tidak banyak berbeza daripada lakonannya terdahulu. Namun, itulah Apek yang dikenali dan digilai kerana gaya komedi yang slapstik dan bersahaja.Berdiri di belakang Apek, A. Razak mempertaruhkan lapan aktres wanita popular bagi menarik perhatian. Pelakon berpengalaman Rosnah Mat Aris harus dipuji kerana menterjemahkan watak Suriati, seorang wanita sengau yang lucu dengan baik dan terkawal.Aktres jelita Fasha Sandha, sekalipun lakonannya sebagai wanita buta bernama Ros adalah sederhana tetapi kecantikannya memang memukau. Kejelitaan Fasha begitu menyerlah dan tampak berseri-seri daripada kebiasaannya. Sehinggakan terdetik juga di hati, apakah teknik sinematografi atau solekan yang menyerlahkan Fasha sebegitu cantik dalam filem ini?Penyanyi dan pelakon Bienda turut memikat menerusi lakonan yang semakin matang. Walaupun filem ini sarat dengan keriuhan, Bienda yang memainkan watak Weena berjaya mengawal lakonan dengan aksi yang bersahaja dan meyakinkan.Sementara itu, lima aktres lain termasuklah Rozita Che Wan, Almy Nadia, Sazzy Falak, Ayu Raudhah dan Marsha Londoh juga tidak mengecewakan. Masing-masing mampu mengundang hilai-tawa, cuma tiada apa yang ekstravaganza mengenai lakonan mereka kali ini.Sayangnya, kemunculan aktor veteran Datuk Rahim Razali dilihat tidak meninggalkan sebarang impak. Hanya memainkan watak peguam keluarga, Datuk Rahim dengan gaya komedi bersahaja yang tidak memberangsangkan, rasanya A. Razak telah mensia-siakan khidmat pelakon hebat itu dalam filem ini.Dengan garapan watak seringkas itu, mana-mana aktor lain pun boleh membawakan watak itu. Alangkah baiknya, jika A. Razak lebih kreatif memanfaatkan kemunculan berharga Rahim Razali agar lebih berkesan pada 4 Madu.Harus diakui, kupasan isu bermadu dalam karya A. Razak kali ini bukanlah ekstra hebat tetapi cara penyampaian dengan gaya komedinya itu tetap punya nilai tersendiri.Malah, sentuhan A. Razak yang lebih matang dan sinikal pada beberapa aspek seperti pahit dan manis hidup bermadu, wanita yang materialistik dan isu perceraian yang dianggap remeh dalam filem ini wajar dipuji dan boleh dijadikan iktibar kepada penonton.Secara ringkas, filem 4 Madu berkisar tentang dua adik-beradik tiri Azlan dan Azrul yang tidak pernah mengenali antara satu sama lain dan dipertemukan pada hari pembacaan wasiat tinggalan ayah mereka yang bernilai RM80 juta setiap seorang.Demi memenuhi tuntutan wasiat itu, Azlan dan Azrul dikehendaki mengahwini empat wanita mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan. Bermulalah gelagat dan kelucuan masing-masing dalam menyempurnakan tugasan itu.Senario hilang bisa dalam Senario Asam GaramDua tahun menyepi selepas kali terakhir muncul dengan filem Wayang, karyawan seni yang sinonim dengan naskhah sitkom popular Pi Mai Pi Mai Tang Tu iaitu Hatta Azad Khan kembali dengan pertaruhan terbarunya Senario Asam Garam.Menggalas jenama francais Senario yang sebelum ini diterajui oleh tiga pengarah popular Aziz M. Osman, Mamat Khalid dan Ahmad Idham semestinya bukan tugas enteng buat Hatta.Sementelah, naskhah-naskhah komedinya sebelum ini termasuklah filem Mat Som (1990) dan sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu sendiri telah meletakkan penanda aras yang tinggi bagi profesor filem ini.Justeru itu, tidak dinafikan Hatta sebenarnya berdepan risiko yang besar untuk menghasilkan komedi segar dalam Senario Asam Garam.Tambahan pula selepas 15 tahun jenama Senario berlegar di persada seni, adalah bukan mudah bagi Hatta untuk menyuntik elemen komedi yang berbeza dan selaras dengan rentak jenaka kumpulan itu.Dek faktor-faktor itu, maka tidak hairanlah sentuhan komedi Hatta kali ini dilihat agak tumpul dan mudah dilupakan. Suntikan komedi Hatta seolah hilang bisa sehingga tidak keterlaluan untuk melabelkan filem Senario kali ini semakin tidak relevan dengan pendekatan komedi hari ini.Gelagat kumpulan Senario yang hanya tinggal berdua iaitu Azlee Jaafar dan Mazlan Ahmad (Lan Pet Pet) tanpa kelibat Wahid Mohammad dalam filem kali ini boleh dianggap 'menyedihkan'.Melihatkan aksi dan mimik muka Azlee yang menjengkelkan (tidak ubah seperti 10 tahun dulu) serta kelantangan dan keracauan Lan Pet Pet bak 'tarzan meroyan' menjadikan filem ini agak kucar-kacir dan kusut sebenarnya.Mujurlah, lakonan Sathiya, Zaibo, Fimie Don, Julia Hana, Nadia Mustafar dan Adeline Tsen berada pada tahap terkawal. Setidak-tidaknya, lakonan mereka dapat juga mencuit hati dan mengimbangi 'kekecohan' Azlee dan Lan Pet Pet.Jika dilihat pada plot dan perjalanan filem ini, dengan serta-merta imbasan filem Pak Tam Duda lakonan A.R Badul, Kartina Aziz, Ebby Saiful dan Tam Suhaimi segera menerpa memori.Sama ada kebetulan atau tidak, penceritaan Senario Asam Garam sebenarnya tidak banyak berbeza dengan filem komedi 1989 itu, cuma menerusi Senario Asam Garam, Hatta menyuntik sedikit kelainan pada plotnya dengan mengangkat watak kanak-kanak Amin (Fimie Don) yang obses pada gajet.Sekalipun filem ini tidak berhasil seperti yang dijangkakan, ini tidak bermakna keseluruhan Senario Asam Garam gagal untuk mengundang ketawa. Dialog filem ini pada dasarnya masih mencuit hati dan ia diserikan lagi dengan lakonan bersahaja para pelakonnya.Bagi anda yang membesar dengan komedi kumpulan ini pasti dapat menghidu Senario semakin hilang satu-persatu sentuhan komedi bersahaja mereka seperti mana pada sekitar 10 tahun yang lalu.Bagaimanapun, aksi dan mimik muka mereka masih menghiburkan, khasnya buat penonton cilik yang baru mengenali pelawak bergelar Senario, cuma kali ini jenaka mereka makin tumpul dan kurang bisanya.Secara ringkas, Senario Asam Garam mengisahkan tentang perasaan hasad dengki Asam (Lan Pet Pet) dan Garam (Zaibo) yang mencemburui kejujuran Pak Adam (Azlee) dalam urusan kerja kontraktor di kampung mereka.Lebih memburukkan keadaan apabila seorang janda iaitu Cik Hawa (Julia Hana) menolak cinta Garam sehingga menyebabkan Garam bertindak jahat terhadap Cik Hawa. Disebabkan oleh insiden itu, anak Cik Hawa iaitu Amin (Fimie Don) dan Pak Adam bersatu bagi menyelesaikan masalah.Filem 4 Madu dan Senario Asam Garam kini ditayangkan serentak di pawagam bermula 9 September 2010.