suria

Julia Roberts Penyelamat Kebosanan "Eat Pray Love"

Barisan pelakon Eat Pray Love (dari kiri) Javier Bardem, Julia Roberts, pengarah Ryan Murphy, penerbit Dede Gardner and aktor Richard Jenkins hadir pada sesi promosi filem itu di Festival Filem San Sebastian ke-58 di Sepanyol, baru-baru ini. - Reuters
Barisan pelakon Eat Pray Love (dari kiri) Javier Bardem, Julia Roberts, pengarah Ryan Murphy, penerbit Dede Gardner and aktor Richard Jenkins hadir pada sesi promosi filem itu di Festival Filem San Sebastian ke-58 di Sepanyol, baru-baru ini. - Reuters
Barisan pelakon Eat Pray Love (dari kiri) Javier Bardem, Julia Roberts, pengarah Ryan Murphy, penerbit Dede Gardner and aktor Richard Jenkins hadir pada sesi promosi filem itu di Festival Filem San Sebastian ke-58 di Sepanyol, baru-baru ini. - Reuters

SEJAK filem Eat Pray Love (EPL) heboh dicanangkan, keterujaan yang berbuku di hati untuk menonton aksi terbaru aktres termahal Hollywood Julia Roberts bagaikan di luar kawalan.

Sayangnya, 10 minit pertama layar membentangkan naskhah, persembahan filem yang dikhabarkan hebat ini bingkas mengundang keraguan. Permulaan yang bosan, ternyata membunuh tumpuan dan minat terhadap filem arahan Ryan Murphy ini.

Lantas, graf keterujaan yang memuncak sebelum filem bermula terus menjunam dan tenggelam sepanjang filem ini menyusur.

Konflik dalaman yang dicetuskan oleh watak Liz (Julia Roberts) sebenarnya mungkin mengundang pertikaian dan seribu satu persepsi terhadap keseluruhan plot filem ini. Pelbagai persoalan menerpa dari segenap sudut mempertikaikan relevannya perkara itu dan ini dibangkitkan oleh Liz dalam EPL.

Sebagaimana kusut, bosan dan berkecamuknya konflik yang ditimbulkan oleh Liz, sebegitulah gambaran yang dapat dirasakan oleh penonton. Lebih pahit, kekusutan dan dilema 'mengarut' yang seolah-olah sengaja ditimbulkan itu mengundang kelesuan pada subjek filem ini.

Jika diamati isu atau dilema yang dicetus oleh Liz, penonton terutamanya lelaki pasti akan berbisik mengapakah perlu Liz mengeluh itu dan ini dan seakan-akan tidak bersyukur dengan kehidupan dan status yang dikecapinya selama ini?

Benar, filem ini adalah adaptasi daripada catatan peribadi penulisnya Elizabeth Gilbert, namun apakah siginifikannya memoir itu sehingga diangkat sebagai subjek sebuah filem?

Bagaimanapun, semakin jauh filem ini menyusur, kebosanan itu beransur baik apabila babak-babak di Itali yang merungkai tentang makanan dan persahabatan dihidangkan kepada penonton.

Suntingan babak yang pantas dan iringan muzik latar yang bertenaga dan berjiwa yang 'mendukung' kembara Liz di bumi Itali itu seakan memberi nafas segar kepada permulaan filem yang 'menyakitkan'.

Namun, keindahan visual di Itali lenyap sekelip mata apabila sub-plot beralih destinasi ke India. Penceritaan memoir Liz di bumi yang kaya dengan budaya dan berwarna-warni ini tidak dipersembahkan seperti yang diharap.

Malah, filem ini boleh dianggap mengalami 'kemusnahan mutlak' ketika paparan babak-babak di India berlangsung. Sebagai pengarah dan pengemudi lakon layar, Murphy kurang cemerlang mengeksploitasi keindahan bumi India dan nilai agama Hindu itu sendiri.

Perjalanan EPL di bumi India adalah satu fasa yang meleret dan tidak berkesan. Menurut sinopsis, Liz akan cuba untuk mengenali diri dan bermeditasi di India tetapi sayangnya kupasan plot di sini cukup dangkal, singkat dan tergantung tanpa perincian yang diperlukan bagi menyuburkan nilai ibadat, penyucian jiwa dan budaya di dalam sub-plot ini. Akhirnya, catatan di India terus hanyut dan beralih ke Bali, Indonesia.

Di Bali, momentum penceritaan EPL seakan kembali bergetar. Beberapa sub-plot yang berlaku seperti perkenalan Liz dengan Filepe (Javier Bardem), kemesraan yang terbina dengan Ketut Liyer (Hadi Subiyanto) serta keindahan luar biasa pemandangan bumi Bali memberi nafas pada filem ini.

Melihatkan perjalanan filem ini yang perlahan dan membosankan, mungkin tidak keterlaluan untuk melabelkan bahawa kemunculan Julia Roberts adalah penyelamat.

Pertarungan Roberts dalam mempamerkan pelbagai emosi disifatkan cantik dan tepat mengikut tuntutan babak dan cerita.

Penonton bukan sahaja dapat menyaksikan mimik muka, malah seluruh anggota Roberts cekap bekerja dalam menterjemahkan pelbagai emosi yang berkesan.

Jika dinilai secara kolektif, EPL bukanlah sebuah filem drama/ percintaan yang akan diingati untuk 20 atau 30 tahun dari sekarang. Untuk sebuah comeback seorang aktres bergelar Julia Roberts, naskhah ini mudah dikuis ke tepi apabila dia muncul dengan filem baru kelak.

EPL mengisahkan tentang kehidupan Liz Gilbert yang memiliki segala-galanya - suami, rumah dan karier sebagai penulis. Namun, di sebalik semua itu, Gilbert merasakan dirinya keliru, 'hilang' dan masih mencari-cari kekosongan itu.

Selepas bercerai dengan suaminya Stephen (Billy Crudup), Gilbert membuat keputusan untuk keluar dari zon selesanya dan melakukan perkara-perkara baru dalam hidup iaitu mengembara ke tempat orang.

Gilbert memilih Itali, India dan Indonesia. Gilbet menemui nikmat makanan dan persahabatan di Itali, kuasa ibadat dan penyucian jiwa di India serta kedamaian dan keseimbangan dalam cinta di Bali, Indonesia.

Filem adaptasi daripada novel memoir terlaris Elizabeth Gilbert ini ingin membuka minda penonton sebenarnya ada lebih daripada satu jalan untuk membebaskan diri dan melihat potensi diri.

Filem Eat Pray Love kini ditayangkan di pawagam bermula 30 Septermber 2010.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain