Pengarah Wes Craven diapit dua bintang muda filem My Soul To Take iaitu Emily Meade (kiri) dan Max Thieriot pada sesi pratonton filem itu di New York, Amerika Syarikat, Oktober lalu. - Foto APNAMA Wes Craven memang cukup dikagumi kerana penghasilan filem-filem ngeri dan seram seperti A Nightmare on Elm Street dan francais Scream yang cukup berkesan di hati peminat.Mendapat jolokan 'legenda filem seram dan ngeri' di Hollywood, kebijaksanaan Craven mengeksploitasi unsur mitos dan cerita rakyat dalam karya-karyanya berjaya mengukuhkan ikon karakter seram yang cukup dikenali. Paling berkesan dan diingati pastinya karakter Fred Krueger (lakonan Robert Englund) yang menghantui mimpi kanak-kanak dalam filem A Nightmare on Elm Street (1984).Terbaru, Craven kembali menerusi My Soul To Take (MSTT) yang sekali lagi mengangkat tema seram tetapi kali ini memfokuskan kepada cerita sekumpulan remaja sebagai penerajunya pula.Dasarnya, cerita sebegini bukanlah sesuatu yang asing atau segar kerana sebelum ini kita telah dilambakkan dengan pelbagai judul filem sebegini seperti Urban Legend dan Sorority Row, umpamanya.Kini, menerusi MSTT, Craven mengetengahkan plot tentang seorang pembunuh bersiri yang mengalami masalah personaliti berganda iaitu Abel Plenkov (lakonan Raul Esparza) yang menggalas karakter sbapa yang penyayang dan pada masa yang sama juga adalah pembunuh yang kejam bergelar Riverton Ripper.Kisah ngeri itu menjadi lagenda di kalangan penduduk di pekan kecil Riverton, Massachusetts, Amerika Syarikat dan kembali menghantui pekan itu selepas 16 tahun.MSTT bermula dengan imbauan 16 tahun lalu pada malam Ripper dibunuh selepas melakukan pembunuhan bersiri. Dia bagaimanapun bersumpah untuk membalas dendam dengan membunuh tujuh bayi yang lahir pada malam kematiannya.Masa berlalu, pekan itu kembali kecoh dengan pelbagai kematian, sekaligus menimbulkan persoalan adakah Ripper benar-benar kembali? Misteri itu hanya dapat dirungkai oleh tujuh remaja yang lahir pada malam kematiannya.Lakonan pelakon muda Max Thieriot sebagai Adam Hellerman atau Bug memperlihatkan aspek kematangan dalam penterjemahan wataknya berbanding filem-filem lakonannya terdahulu seperti The Pacifier (2005) dan Nancy Drew (2007).Memainkan watak remaja yang pelik dan penuh misteri, Bug disisihkan oleh rakan-rakan sekolah dan kejiranannya dek keanehan itu.Untuk watak itu, Thieriot dilihat meyakinkan dalam memaparkan sisi misteri dan emosinya. Namun, momentum itu tidak kekal kerana pada bahagian penghujung filem ini, jejaka kelahiran California ini dilihat seakan hilang fokus dan tampak hambar di depan skrin.Sementara itu, himpunan pelakon remaja yang lain termasuk John Magaro (sebagai Alex), Emily Meade (Fang), Nick Lashaway (Brandon), Denzel Whitaker (Jerome), Shareeka Epps (Chandelle), Paulina Olszyinski (Brittany) dan Zena Grey (Penelope) pula sekadar melengkapi kuota perwatakan dan tidak memberikan impak maksima pada penceritaan filem ini.Apa yang dapat disimpulkan, kredibiliti Craven menerusi sentuhan terbaru ini kian terhakis. Ia secara tidak langsung menimbulkan keraguan akan kehebatan yang pernah digalasnya suatu waktu dulu.Tiada lagi unsur ngeri atau seram secara semulajadi yang dapat dirasakan seperti mana menonton francais filem A Nightmare on Elm Street mahupun Scream.Sebaliknya, pengisian MSTT tidak ubah seperti sebuah filem ngeri dan seram yang murah dan dihasilkan oleh pembikin amatur.Bagaimanapun, bagi yang mengikuti filem-filem Craven sejak dulu, tidak menjadi satu kerugian untuk menonton air tangannya kali ini.Idealnya, identiti Craven masih lagi dapat dilihat dalam MSTT. Garapannya masih meyakinkan biarpun plot filem ini seakan dibina atas dasar ketandusan idea.Filem My Soul To Take kini ditayangkan di pawagam bermula 9 Disember 2010.