suria

'Aku Masih Dara' Sekadar Filem "Biasa"

Barisan pelakon muda Aku Masih Dara. Dari kiri Asyraff Muslim, Yana Samsudin, Diana Amir, Raja Farah dan Farid Kamil.
Barisan pelakon muda Aku Masih Dara. Dari kiri Asyraff Muslim, Yana Samsudin, Diana Amir, Raja Farah dan Farid Kamil.
Barisan pelakon muda Aku Masih Dara. Dari kiri Asyraff Muslim, Yana Samsudin, Diana Amir, Raja Farah dan Farid Kamil.

DEK peredaran masa, perubahan gaya hidup dan pengaruh gejala sosial yang membelenggu golongan muda, reaksi segelintir anak gadis tentang isu dara telah banyak berubah.

Tidak dinafikan, masih ramai gadis yang berpegang teguh pada prinsip dan pegangan agama. Namun, tidak kurang juga yang memandang enteng isu tersebut. Dara atau tidak, perkara itu jatuh nombor dua.

Apa yang lebih penting adalah untuk menikmati zaman muda ini sepuas-puasnya. Lantas, ramai gadis yang mudah berkompromi mengenai kedaraan masing-masing serta kabur dalam menilai perkara yang buruk dan baik.

Atas kesedaran itu, penggiat filem Ahmad Idham tidak ketinggalan untuk menunjangi tanggung jawab sosialnya menerusi filem terbaru Aku Masih Dara (AMD).

Bukan saja untuk dijadikan wadah hiburan, malah filem ini turut bertindak sebagai platform bagi menyampaikan mesej dan pengajaran untuk renungan para gadis, keluarga dan anggota masyarakat.

Menerusi air tangannya kali ini, Idham memilih isu dara dan gejala sosial di kalangan remaja sebagai subjek penceritaan.

Namun, di sebalik subjek yang sarat dengan mesej ini, AMD lemah pada mutu skrip yang boleh disifatkan longgar dan pincang.

Pendek kata, dek kedangkalan skrip filem itu, persembahan visual AMD seakan berada pada takuk yang lama dan klise.

Paparan imej kelalaian remaja, budaya berpesta, pergaulan bebas, disko, dadah, seks dan segala macam gambaran negatif yang membelenggu remaja ini tidak dipaparkan dalam konteks yang lebih segar atau berbeza.

Bagi yang mampu memejamkan sebelah mata dan sekadar ingin berhibur, filem ini tidak 'memualkan' untuk ditonton. Jauh sekali untuk anda bangun dan meninggalkan pawagam.

Sebagai penonton yang matang, kita seharusnya menghargai dan merenungkan intipati yang tersirat di sebalik kekurangannya.

Ini kerana, secara kolektifnya persembahan AMD boleh dianggap seimbang pada konteks hiburan, lakonan dan mesejnya, meskipun ia terhasil pada gred sederhana saja.

Agak memburukkan keadaan, paparan filem ini dirumitkan pula dengan aksi para pelakon yang tidak memberangsangkan.

Rata-rata, penterjemahan barisan pelakonnya seperti Yana Samsudin (sebagai Aleesya), Raja Farah (Sofea), Diana Amir (Hani), Farid Kamil (Zachery) mahupun Asyraf Muslim (Firdaus) bagaikan berlagu tanpa irama.

Penterjemahan lakonan masing-masing serba tidak kena dan gagal bersatu dalam plot filem ini. Ia boleh dianggap sebagai lakonan secara luaran saja yang gagal menawan emosi penonton.

Bagaimanapun, percaturan Idham yang menyampaikan isu yang berat dan sensitif ini dalam bentuk hiburan ringan dan komersial adalah kepintaran yang wajar dipuji.

Tidak perlulah membandingkan AMD dengan filem-filem lain kerana pengarah ini punya pengikut dan gaya tersendiri dalam berkarya.

Mungkin filem ini tidak sempurna, namun ia masih boleh ditonton terutamanya bagi penggemar bakat-bakat pelapis tanah air itu.

Berkisar kepada masalah sosial yang membelenggu remaja hari ini, AMD memfokuskan kepada kehidupan tiga sahabat iaitu Aleesya (Yana Samsudin), Sofea (lakonan Raja Farah) dan Hani (Diana Amir) yang berlainan latar belakang serta hanyut dalam godaan hidup penuh ranjau.

Aleesya mempunyai asas agama yang kukuh. Namun persekitaran hidupnya yang serba moden dan sering bersosial menyebabkan dia leka pada tuntutan agama.

Hidup Sofea yang kosong, serba moden dan kebaratan tanpa didikan agama menjadikan dia kurang tenang dan sentiasa tercari-cari arah hidup yang sebenar.

Manakala, kehidupan Hani pula bertentangan dengan dua rakannya yang lain. Dilahirkan dalam keluarga yang serba kekurangan, Hani hilang pertimbangan lalu mengambil jalan mudah dengan menjadi pengedar dadah secara kecil-kecilan bersama teman lelakinya Zachery (Farid Kamil).

Namun, semuanya berubah apabila Firdaus (Asyraf Muslim) iaitu sepupu Aleesya yang kuat agama muncul dalam kehidupan mereka bertiga.

Aku Masih Dara ditayangkan di pawagam bermula 16 Disember 2010.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain