Babak menyaksikan pelakon cilik Erynne Erynna (sebagai Nuraiza) dirasuk dalam filem Damping Malam.ISTIMEWANYA, filem seram terbaru daripada pengarah Ahmad Idham ini hadir dengan dua pakej menarik.Pertama, filem berjudul Damping Malam (DM) ini boleh disimpulkan sebagai garapan seram terbaik daripada Ahmad Idham selepas Jangan Pandang Belakang (2007), Congkak (2008) dan Niyang Rapik (2010). Kedua, filem ini turut menyaksikan kemunculan semula Ahmad Idham sebagai pelakon utama selepas kali terakhir muncul dalam filem Anaknya Sazali, hampir 11 tahun yang lalu.Yang jelas, sentuhannya kali ini memperlihatkan kematangan pengarah ini dalam pembikinan filem.Debaran dan suasana seram dalam DM diwujudkan secara lebih matang dan terperinci, tanpa perlu lagi mengeksploitasi kelibat hantu yang menakut-nakutkan penonton dengan gaya lama dan klise.Pendek kata, keseramannya meresapi penonton secara semula jadi dan pendekatan bijak itu layak dipuji.Mungkin jika dilihat pada sisi bertentangan, rentak DM diakui agak perlahan. Risikonya, mungkin ada di kalangan penonton yang berasa bosan dan kurang teruja dengan naratif filem ini.Namun, di sebalik kehambaran itu, ia sebenarnya berjaya mencernakan suasana seram yang lebih semula jadi dan bijak.Sekalipun bukan menyeluruh, sedikit sebanyak bayangan filem-filem seram Hollywood, Thailand atau Jepun pasti dapat dilihat dalam DM.Selain penceritaan yang baik, filem ini diperkemaskan lagi dengan aspek sinematografi yang memberangsangkan.Kolaborasi Ahmad Idham dan pengarah fotografi Raja Mukhriz harus dipuji. Keseraman dan debaran dalam filem ini banyak dibantu oleh gerak sinematografi yang bijak bercerita.Pada sisi lakonan pula, persembahan barisan pelakon DM juga tidak mengecewakan. Amy Mastura selaku penggalas watak utama, Ku Khalira berjaya menimbulkan tanda tanya dan misteri menerusi ekspresi wajah dan gerak-geri yang mencurigakan dan menyimpan seribu satu persoalan.Selaku pengarah dan bintang gandingan, lakonan Ahmad Idham (sebagai Wadi) dilihat membantu menonjolkan watak Ku Khalira dalam filem ini.Biarpun lakonan Ahmad Idham berada pada tahap biasa namun kekurangan tersebut bijak dikaburi oleh elemen seram yang dipaparkan. Bagaimanapun, emosi Idham pada babak-babak klimaks DM wajar dipuji.Sementara itu, kemampuan pelakon cilik Erynne Erynna yang menjayakan watak Nuraiza, anak gadis kepada pasangan Ku Khalira dan Wadi menepati jangkaan.Jelas sekali, bakat dan pengalamannya membintangi filem seram Congkak sebelum ini banyak membantu Erynne menguasai watak remaja yang murung, histeria dan misteri. Malah, persembahan Erynne menjadi semakin baik, matang dan berkesan kali ini.Jika mahukan sebuah filem yang memaksa anda terkejut dengan gaya murah, maka bukan ini filemnya. Namun, bagi yang mengikuti filem-filem seram Ahmad Idham, DM menampilkan sebuah karya seram yang bijak dan matang.Filem terbitan MiG Productions ini turut menampilkan Azizah Mahzan, Eizlan Yusof dan penampilan istimewa Datin Nina Juren yang sekian lama tidak muncul di layar perak.DM mengisahkan kehidupan usahawan muda Wadi bersama isterinya Ku Khalira dan anak perempuan mereka Nuraiza.Sebagai usahawan berjaya, Wadi menjalani kehidupan yang mewah dan serba moden serta tidak mempercayai perkara-perkara berkaitan alam halus, hantu ataupun saka.Bagaimanapun, 'gangguan' yang menyelebungi keluarganya mula mengubah persepsi Wadi tentang perkara itu. Lebih memburukkan keadaan, 'gangguan' ang berlaku dalam keluarganya itu berpunca dari dalam rumahnya sendiri.Damping Malam kini ditayangkan di pawagam bermula 30 Disember lalu.