suria

'Soekarno: Indonesia Merdeka' Penuh Informatif

FILEM: Soekarno: Indonesia Merdeka

PELAKON: Ario Bayu, Lukman Sardi, Mathias Muchus, Maudy Koesnaedi, Henky Solaiman, Ria Irawan, Emir Mahira, Aji Santosa, Tika Bravani dan Sujiwo Tejo.

PENGARAH: Hanung Bramantyo

GENRE: Biopik

DURASI: 150 minit

TARIKH TAYANGAN: 16 Oktober 2014

Berdasarkan komen-komen yang diberikan kebanyakan rakyat Indonesia mengenai filem Soekarno: Indonesia Merdeka, mereka menganggap filem ini sebagai sebuah naskah yang tidak cukup kuat untuk menceritakan segala-galanya mengenai presiden pertama negara itu.

Tetapi bagi penulis yang kurang pengetahuan mengenai presiden berkenaan dan hanya tahu kisahnya secara dasar sahaja, filem itu dianggap sebuah karya yang sarat dengan fakta dan informatif.


Penulis  percaya penonton tempatan juga setuju dengan pandangan ini.

Apatah lagi si pengarahnya, Hanung Bramantyo berjaya menyampaikan perjalanan hidup Soekarno kepada sebuah naskah yang berdurasi dua setengah jam, dan ia pastinya bukan kerja mudah.

Senang kata, ia adalah sebuah rangkuman ringkas mengenai sejarah negara itu juga.

Hanung bijak menyusun fakta dengan kemas dalan penyampaian cerita yang mengambil latar masa bermula Soekarno dilahirkan sehinggalah beliau mengumumkan kemerdekaan Indonesia bersama rakan baiknya ketika itu, M.Hatta pada tanggal 16 Ogos 1945.


Berbeza dengan karya-karya yang dihasilkan seperti Perahu Kertas dan Ayat-Ayat Cinta, air tangan Hanung untuk filem ini cukup halus dan klasik.

Plot cerita juga disampaikan dengan penuh teliti tanpa memerlukan penonton berfikir panjang apa yang cuba disampaikan dalam sepanjang jalan penceritaan filem itu.

Walaupun tidak semua fakta sejarah tidak dimasukkan dalam plot cerita tersebut, Hanung masih dapat membuatkan penonton menyelami hati seorang presiden yang sanggup bersusah payah bagi mencapai kemerdekaan negara dengan cara yang tersendiri.

Daripada segi visual pula, latar masa sebelum tahun 1945 ketika penjajahan Belanda dan Jepun juga berjaya dihidupkan.


Manakala daripada sudut lakonan pula, Ario Bayu berjaya menghayati wataknya dengan baik. Itu pendapat penulis. Tidak tahu pula anda yang menontonnya. Kerana berdasarkan komen penonton Indonesia, mereka langsung tidak sukakan lakonan aktor itu.

Watak Maudy Koesnaedi sebagai isteri Soekarn iaitu Ibu Ingrid juga berjaya dihayati dengan baik meskipun lakonannya hanya untuk beberapa babak sahaja.

Selain itu, watak-watak lain juga dijaga kemas dengan cara penyampaian Hanung tersendiri.

Jadi tidak hairanlah jika filem ini sudah berada di kelas tersendiri apabila berjaya menggondol  anugerah Filem Terbaik dan Pengarah Filem Terbaik di Festival Filem Bandung yang diadakan baru-baru ini.

Secara keseluruhannya, penulis berpendapat filem ini amat bagus ditonton buat masyarakat negar bini sebagai ilmu pengetahuan am. Lebih-lebih lagi ia juga sesuai dijadikan rujukan buat pelajar-pelajar yang membuat kajian tentang presiden tersohor ini.


Soekarno: Indonesia Merdeka

Artikel Sebelum

Artikel Lain