suria

Lisa Surihani Kekuatan 'Dendam Orang Mati'

Dendam Orang Mati telah pun berada dipawagam sejak 23 Oktober lalu.
FILEM: Dendam Orang Mati

PELAKON: Lisa Surihani, Fizz Fairuz, Miera Leyana

PENGARAH: Jason Chong

GENRE: Seram

DURASI: 90 Minit

PENERBIT: KRU Studios

TARIKH TAYANGAN: 23 Oktober 2014

KONTROVERSI melibatkan aktres Miera Leyana yang berbikini dalam satu babak menerusi filem terbaharu terbitan KRU Studios berjudul Dendam Orang Mati barangkali hanya sekadar gimik untuk menarik perhatian penonton terhadap karya arahan Jason Chong itu.

Sengaja atau pun tidak adegan tersebut sebenarnya tidak meninggalkan kesan kepada karya berkenaan kerana jalan cerita dan lakonan mantap pelakon utamanya, Lisa Surihani cukup membuatkan penonton terpesona dengan filem berkenaan.

Jason dengan bijak berjaya mengadunkan kisah misteri disebalik kepercayaan angka empat dikalangan masyarakat Cina dengan kisah Lena lakonan Lisa iaitu seorang pesakit mental yang menghuni di tingkat empat di sebuah flat usang.

Kebijaksanaan Jason menyusun semua plot dan sub plot kisah mengenai Lena ditambah dengan pelbagai tanda tanya membuatkan Dendam Orang Mati mempunyai kelainan daripada filem seram psiko yang lain.

Lakonan Lisa sebagai pesakit mental ternyata menjadi.

Malah penonton akan dapat merasai tanda tanya ditinggalkan kepada mereka tentang apa yang berlaku kepada Lena dan flat ditingkat empat yang didiami oleh Lena.

Jelas dapat dilihat Jason tidak mahu membiarkan penonton hanyut dalam cerita yang disampaikan sebaliknya mahu mereka menggunakan imaginasi dalam memikirkan motif disebalik sesuatu kejadian dalam filem itu.

Tidak seperti filem seram yang lain, Jason tidak banyak menonjolkan imej seram yang menakutkan dalam karyanya itu sebaliknya menggunakan emosi para pelakon dan latar sebagai alat untuk mempermainkan emosi penonton.

Ternyata elemen seram yang cuba ditonjolkan berjaya menimbulkan keresahan penonton tanpa perlu berusaha banyak dalam menampilkan imej menakutkan kepada penonton.

Bagaimanapun sedikit mengecewakan apabila penggunaan teknik janaan berkomputer (CGI) yang cuba ditonjolkan kurang memuaskan selain beberapa babak yang menjalani penggambaran dalam studio tidak realistik.

Antara babak mencemaskan dalam Dendam Orang Mati.

Dendam Orang Mati mengisahkan mengenai Lena (Lisa Surihani) yang mempunyai masalah mental menghuni di tingkat empat sebuah flat usang bersama suaminya, Shahrul (Fizz Fairuz).

Lena sebelum ini terlantar di hospital kerana koma dan ketika itu suaminya mengambil kesempatan berkahwin dengan Min (Miera Leyana).

Sejak sedar daripada koma, doktor mengesahkan dia mengalami amnesia dan sejak itu dia berada dalam dunianya sendiri sehinggalah Lena diganggu oleh makhluk halus dan membawa kepada cerita sebenar disebalik kejadian menimpanya.

Dalam pada itu, Lisa yang cukup terkenal dengan watak lemah lembut berjaya membuktikan dia bukan sekadar pelakon biasa kerana menerusi Dendam Orang Mati, lakonan isteri kepada Yusry Abdul Halim itu cukup menyerlah.

Pada pandangan dua sen penulis watak Lena adalah paling terbaik yang pernah dibawa oleh Lisa sepanjang karier lakonannya dan tidak hairan sekirannya dia merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik selepas ini.

Emosi dalaman yang dikeluarkan untuk menjayakan watak Lena cukup berat dan jelas kelihatan beban tersebut dibahu Lisa - namun ia bernilai kerana dia berjaya menyelami karakter tersebut.

Dendam Orang Mati bukan sahaja mempunyai jalan cerita dan lakonan mantap daripada barisan pelakon tetapi ia adalah sebuah karya asli yang harus diberi perhatian oleh peminat filem tempatan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain