suria

Musnahnya Sensitiviti Dalam 'Lelaki Harapan Dunia'

Lelaki Harapan Dunia berada dipawagam bermula 27 November 2014.

FILEM: Lelaki Harapan Dunia

PELAKON: Wan Hanafi Su, Azhan Rani, Sofi Jikan, Harun Salim Bachik, Jalil Hamid dan Hishamuddin Rais.

PENGARAH: Liew Seng Tat

GENRE: Drama/Komedi

DURASI: 90 Minit

PENERBIT: Everything Films

TARIKH TAYANGAN: 27 November 2014

PERKHABARAN mengenai karya kedua arahan pengarah muda, Liew Seng Tat iaitu Lelaki Harapan Dunia (LHD) mendapat perhatian ketika karya berkenaan terlibat dalam festival filem antarabangsa termasuk di Toronto, Vancouver dan Busan membuatkan perasaan ingin menonton memuncak.

Malah dikalangan penggiat seni dan peminat juga rancak membicarakan mengenai filem berkenaan di laman sosial masing-masing ekoran kejayaan LHD mengangkat nama negara di luar negara.

Akhirnya pada malam Isnin (24.11.2014) lalu bertempat di Golden Screen Cinemas, Pavilion, Kuala Lumpur berlangsung tayangan perdana filem berkenaan yang bukan sahaja dihadiri oleh barisan pelakon dan pengarahnya namun rakan-rakan artis dan penggiat seni lain untuk menyaksikan filem berkenaan - termasuk penulis ditugaskan membuat liputan.

Biarpun LHD pada 20 minit pertamanya bermula dengan perlahan namun ia berjaya menarik perhatian selepas penceritaan mengenai budaya angkat rumah disulam dengan pelbagai tragedi serta komedi menambah rasa pada jalan ceritanya.

Lelaki Harapan Dunia membariskan barisan pelakon berkaliber.

Lelaki Harapan Dunia berlatar sebuah kampung yang terjadi kekacauan akibat salah faham di antara penduduk yang menyangka rumah terbiar yang dalam perancangan dipindahkan dari hutan ke kampung itu dikatakan berhantu.

Pak Awang yang ingin menghadiahkan rumah tersebut kepada anak perempuannya menyangkal dakwaan tersebut dan meminta penduduk kampung tidak mempercayai khabar angin yang disebarkan sehingga timbul kekecohan dikalangan mereka.

Ia membariskan lakonan hebat daripada Wan Hanafi Su, Azhan Rani, Sofi Jikan, Harun Salim Bachik, Jalil Hamid dan Hishamuddin Rais.

Bagaimanapun rasa janggal dan tegang mula terasa apabila ia mula menyentuh isu politik, sentimen dan sensitiviti dalam kalangan masyarakat Melayu.

Sofi Jikan dalam satu babak menarik dalam filem berkenaan.

Malah kritikan sosial dengan makna berlapis meresahkan kerana ia mampu menimbulkan ketegangan dikalangan masyarakat yang mungkin tidak berpuas hati dengan karya tersebut.

Idea menghasilkan filem tersebut yang pada asalnya ingin mengetengahkan sebuah kisah komedi di samping mempelihatkan budaya dan semangat bersatu padu masyarakat Melayu serta mengangkat keunikan tradisi lama iaitu budaya angkat rumah nampaknya hanya tinggal pada teras.

Sayang, Liew mempunyai subjek cukup menarik untuk diketengahkan namun dek silap percaturan, idea itu tenggelam sehingga ke akhir filem.

Jauh disudut hati penulis yakin Liew tidak mempunyai sebarang niat untuk merendah-rendahkan masyarakat Melayu dan ia sekadar bertunjangkan seni dan hiburan semata-mata.

Adegan mengangkat rumah yang turut melibatkan 70 pelakon ekstra.

Bukan penulis ingin mengatakan Liew tidak layak bercakap apa-apa tentang masyarakat Melayu kerana dia juga sebahagian daripada kita sebagai rakyat Malaysia namun seharusnya dia lebih bijak dan sensitif dalam memilih kritikan yang ingin diselitkan.

Ini kerana bukan semua masyarakat di negara ini mampu menonton dengan fikiran cukup terbuka dan menerima bulat-bulat sisi buruk kaum itu ditelanjangkan untuk tontonan umum - malah di luar negara!

Persoalan penulis, adakah ini karya sama dipertontonkan Liew kepada penonton antarabangsa? Jika ya, penulis sebagai rakyat Malaysia berasa malu kerana karya yang dihidangkan bukan memartabatkan masyarakat Melayu tetapi hanya merendah-rendahkan.

Penulis juga tergerak hati untuk membaca ulasan beberapa pengkritik antarabangsa mengenai LHD dan ternyata ketakutan itu menjadi realiti - kebanyakannya memandang serong terhadap karya Liew.

Rata-rata menyifatkan filem itu penuh dengan masalah perkauman yang berselindung disebalik komedi malah Variety.com mempersoalkan adakah penaja filem ini (yang kebanyakannya) dari luar negara membaca terlebih dahulu skrip filem berkenaan sebelum melabur wang.

Dalam pada itu, jika dilihat dari sudut seni, filem ini dihasilkan dengan begitu baik terutamanya pada sinematografinya selain lakonan mantap barisan pelakon yang tidak perlu lagi dipersoalkan kredibiliti mereka.

Malah Liew berjaya menyusun jalan cerita dan sub-plot dengan baik dan komedi ditampilkan juga tidak membosankan selain dia mempunyai cara tersendiri dalam menyampaikan cerita kepada penonton.

Pun begitu, jangan percaya dengan ulasan penulis - beri peluang kepada LHD dan nilai sendiri kerana setiap orang mempunyai pandangan berbeza dalam memberikan pendapat.

Artikel Lain