suria

Jiwa Besar Dalam 'Terbaik Dari Langit'

Terbaik Dari Langit mula ditayangkan di pawagam pada 25 Disember lalu.

FILEM: Terbaik Dari Langit

PENGARAH: Nik Amir Mustapha

PELAKON: Bront Palarae, Iedil Putra, Amerul Affendi, Megat Sharizal, Nadiya Nisaa, Sharifah Amani dan Siti Saleha.

GENRE: Drama/Kembara

DURASI: 90 Minit

PENERBIT: Astro Shaw & Playground Film

TARIKH TAYANGAN: 25 Disember 2014

KEJAYAAN filem KIL arahan pengarah, Nik Amir Mustapha yang diangkat sebagai filem terbaik di Festival Filem Malaysia 26 (FFM26) dan Anugerah Skrin 2014 bulan lalu membuka mata ramai penggiat seni tempatan tentang kebolehan anak muda berpotensi tinggi ini.

Gaya pengarahan dan penceritaan yang disampaikan menerusi naskah berkenaan membawa satu deminsi berbeza kepada industri perfileman tempatan yang semakin suram biarpun KIL gagal mendapat kutipan cemerlang di pawagam.

Tidak berpaksi kepada kutipan, Nik sekali lagi tampil dengan karya terbaharunya, Terbaik Dari Langit  memperlihatkan jiwa yang lebih besar dalam bentuk visual kepada penonton.

Mengangkat tema persahabatan sebagai tunjang utama filem berkenaan, Nik berjaya menterjemahkan skrip tulisan Redza Minhat dengan cemerlang menerusi jalinan subjek pencarian objek terbang tidak dikenali (UFO) sebagai metafora utama kepada naskah berkenaan.

Terbaik Dari Langit mengangkat kisah tentang persahabatan.

Banyak perkara positif yang boleh diambil untuk mengingatkan kita terhadap kepentingan menjaga hubungan sesama manusia itu penting dalam kehidupan seseorang.

Biarpun bersifat fantasi namun apabila diselami metafora penggunaan UFO sebagai subjek cerita berkenaan penonton pasti akan dapat melihat dengan jelas maksud sebenar yang ingin disampaikan Nik.

Tindakan menjadikan UFO sebagai tarikan filem ini sangat bijak pada pandangan penulis kerana tanpanya cerita yang ingin disampaikan boleh menjadi hambar dan tidak mempunyai keistimewaan.

Skrip mendalam daripada Redza berjaya diterjemahkan Nik untuk menggambarkan ilusi dan kepercayaan manusia terhadap sesuatu yang tidak pasti dan kepada diri seseorang itu sendiri.

Pelbagai maksud tersirat yang cuba disampaikan Nik dalam filem tersebut. 

Pun begitu jika dilihat pada luaran filem ini, ia membawa kisah ringkas dan mudah difahami iaitu mengenai persahabatan dan penggembaraan dalam misi mencari UFO untuk sebuah projek filem eksperimen.

Malah skrip yang digunakan juga cukup menyentuh perasaan selain kemunculan Seniman Allahyarham Datuk Aziz Satar yang memegang peranan sebagai datuk kepada Berg (Bront Palarae) dalam filem berkenaan.

Kehadiran Aziz meninggalkan kesan mendalam kerana itu kemunculan terakhir pelakon itu dalam filem sebelum meninggal dunia 6 Mei lalu.

Terbaik Dari Langit mengisahkan mengenai Berg lakonan Bront Palarae, seorang pembikin filem bersama empat rakannya yang memulakan pengembaraan ke sebuah lokasi di mana dia pernah menyaksikan kewujudan sebuah UFO sekitar 15 tahun lalu.

Barisan pelakon Terbaik Dari Langit.


Dengan merialisasikan impian tersebut, Berg membuat keputusan untuk merakam objek tersebut dalam sebuah filem eksperimen dan menyedari penggembaran itu lebih daripada apa yang mereka semua sangkakan.

Selain Bront, naskah itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Iedil Putra, Amerul Affendi, Megat Sharizal, Nadiya Nisaa, Sharifah Amani dan Siti Saleha.

Secara keseluruhannya Terbaik Dari Langit adalah sebuah naskah penutup 2014 yang cukup berbaloi kerana keuntungan sebenar ada pada karya tersebut.

Artikel Lain