Filem: Tomb Raider Pengarah: Roar Uthaug Pelakon: Alicia Vikander, Daniel Wu, Dominic West, Kristin Scott Thomas, Walton Goggins dan Hannah John-Kamen Genre: Aksi Durasi: 118 minit Pengedar: Warner Bros. Pictures Tarikh Tayangan: 8 Mac 2018 MAHU atau tidak, harus diakui trend menerbitkan semula filem popular dalam versi baharu di Hollywood adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan lagi kerana itu dilihat sebagai sumber utama bagi mendapatkan pulangan berlipat ganda untuk industri perfileman di sana. Walaupun hakikatnya penerbitan semula filem-filem ini tidak diterima secara total oleh masyarakat kerana beranggapan filem-filem ini tidak seharusnya disentuh dan dibiarkan sebagaimana keaslian filem asalnya, tetapi ada sudut positif yang boleh diambil daripadanya. Positifnya trend yang dimaksudkan itu apabila ia memberi ruang kepada pembikin filem baharu untuk menterjemahkan ideologi baharu menerusi filem arahan dan terbitan mereka itu. Dalam konteks ini, penulis memberikan contoh filem Tomb Raider yang baharu sahaja memulakan tayangannya minggu lalu di mana ia ditayangkan seminggu lebih awal dari Amerika Syarikat. Penulis antara yang ternanti-nantikan filem komersial ini kerana pertamanya, mahu melihat sejauh manakah kehebatan bekas pemenang Oscar, Alicia Vikander membawakan watak Lara Croft yang diadaptasi daripada permainan video itu. Aksi Alicia Vikander sebagai Lara Croft dalam salah satu babak filem Tomb Raider. Dan keduanya, sudah pasti untuk melihat apakah elemen baharu dalam konteks penceritaan Tomb Raider memandangkan Warner Bros. Pictures sebagai penerbit mengambil risiko yang bukan kecil untuk menerbitkan semula Tomb Raider. Sayugia diingatkan bahawa Tomb Raider versi baharu ini bukanlah kesinambungan mahupun sekuel daripada dua buah filem Lara Croft sebelum ini yang ditunjangi oleh bekas pemenang Oscar, Angelina Jolie. Jika ada yang terlupa dan untuk pengetahuan mereka yang lahir selepas tahun 2000, Jolie pernah membawakan watak Lara Croft menerusi filem Lara Croft: Tomb Raider (2001) dan Lara Croft: Tomb Raider – The Cradle of Life (2003). Berbalik kepada Tomb Raider, penulis tidak menafikan bahawa filem versi baharu yang diarahkan oleh pengarah kelahiran Norway, Roar Uthaug menepati definisi penerbitan semula atau terma yang sering digunakan iaitu reboot. Apabila menerbitkan semula filem yang mempunyai jenama popular seperti Lara Croft, pastinya idea yang baharu dan segar menjadi intipati utama. Ternyata Tomb Raider memiliki elemen itu yang menjadikannya sebuah filem baharu. Walaupun begitu, garapan ceritanya yang ditulis oleh Evan Daugherty dan Geneva Robertson-Dworet ini memiliki tempo yang agak perlahan lalu menjadikan ia sedikit meresahkan dan membuatkan penonton tertanya-tanya babak aksi yang menjadi pertaruhan utama Tomb Raider. Alicia Vikander (kanan) dan Daniel Wu bergandingan dalam Tomb Raider. Bukannya tiada langsung babak aksi tetapi momentum itu hanya tercipta pada babak-babak akhir yang menjadi klimaks kepada keseluruhan penceritaan Tomb Raider itu sendiri. Malah, misi yang diketengahkan juga di awalnya nampak menarik tetapi menuju ke penghujungnya, ia sedikit mengecewakan. Tetapi penulis yakin dan percaya bahawa apa yang telah dipersembahkan itu bersebab kerana pastinya Tomb Raider akan menyusul dengan filem sekuel memandangkan pengakhiran filem ini dipersembahkan dengan sedemikian rupa. Barangkali mahu menepati terma reboot itu sendiri, maka, Tomb Raider dihasilkan dengan cerita yang mengisahkan asal-usul dan kehidupan Lara Croft yang kemudiannya berhadapan dengan satu misi dan seterusnya mencambahkan minatnya untuk terus menjadi seorang ahli arkeologi. Disebabkan itu penceritaan Tomb Raider dilakukan sedemikian rupa dengan memperkenalkan watak demi watak yang ada kepada audiens agar penonton terutama generasi baharu lebih mengenali siapa Lara Croft sebenarnya. Perkara ini memberikan nilai tambah untuk Tomb Raider kerana apa yang dipersembahkan oleh versi baharu ini sememangnya jauh sekali berbeza dengan dua buah filem Lara Croft terdahulu. Bahkan, imej Lara Croft itu sendiri sudah menterjemahkan dan menjunjung ideologi baharu terhadap watak protagonis yang pernah menggemparkan dunia permainan video sewaktu kemunculannya pada tahun 1996. Lara Croft di tangan Alicia Vikander menterjemahkan definisi baharu wanita moden hari ini. Biarpun Tomb Raider tidak memiliki garapan cerita yang cemerlang dan sememangnya jatuh dalam kategori filem komersial semata-mata atau popcorn movie, penulis tidak menafikan kelayakan Vikander sebagai Lara Croft. Seperti mana Tomb Raider yang diadaptasi daripada permainan video yang juga dicipta semula pada tahun 2013 itu, imej Lara Croft itu turut mengalami evolusi. Maka itu, penulis melihat Vikander menepati imej baharu Lara Croft. Memang benar. Vikander tidak memiliki imej dan aura seksi seperti Jolie yang juga pilihan tepat sebagai Lara Croft sebelum ini tetapi dalam situasi semasa dan ditambah pula dengan suara kebangkitan wanita terhadap kesamarataan gender di Hollywood, Lara Croft di tangan Vikander memang sesuai. Aktres kelahiran Sweden itu menterjemahkan imej wanita moden hari ini yang bersifat tegas, bijak, tangkas, berani dan sanggup berhadapan dengan cabaran di dalam dunia lelaki yang masih lagi memandang rendah terhadap kredibiliti wanita. Ditambah pula dengan imej yang dibawakan oleh Vikander sebagai Lara Croft juga bukanlah sebagai satu elemen yang boleh dikatakan menarik perhatian kaum lelaki sewaktu menontonnya Lara Croft tidak ‘menjual’ aset dan tubuhnya semata-mata dalam filem ini. Garapan cerita Tomb Raider tidak berada dalam kelompok cemerlang dan memiliki tempo yang agak perlahan untuk sebuah filem aksi. Walaupun pada awalnya sewaktu Vikander diumumkan sebagai Lara Croft yang baharu, penulis bersikap skeptikal kerana tidak percaya dia mampu membawakan watak aksi. Ini disebabkan Vikander lebih dikenali sebagai aktres filem bercorak drama terutama selepas mencipta nama menerusi filem The Danish Girl (filem yang menghadiahkan Vikander dengan Oscar untuk Pelakon Pembantu Wanita Terbaik) dan Ex-Machina pada tahun 2015. Namun, semua telahan itu meleset dan nampaknya tuah Lara Croft akan berpihak kepada Vikander untuk namanya lebih dikenali ramai dengan lebih meluas selepas ini. Vikander hadir sebagai Lara Croft yang lebih kelihatan asli dan bukannya satu ciptaan yang hanya untuk dijadikan sebagai penjamu mata kaum lelaki (rujuk kepada imej karakter asal Lara Croft yang dibawakan Jolie). ***Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem, Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017 dan bekas wartawan hiburan. Penulis juga merupakan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi tanpa dipengaruhi sesiapa.